Tuesday, 20 December 2016

Bengkel Lakonan Pentas

Projek
Projek Komuniti Kavyan

Program
Bengkel Lakonan Pentas

Penganjur Bersama
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping (Sangam)

Tarikh
21 Januari 2017 (Sabtu)

Masa
1:30 – 6:30 petang [Waktu Kavyan]

Tempat
Dewan Sangam
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping, PERAK

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Pusat Kebudayaan India (ICC) dan DHRRA Malaysia menganjurkan Bengkel Lakonan Kavyan (28 Februari 2016), Persembahan Lakonan Kavyan (27 Mac 2016) dan Bengkel Lakonan Pentas (26 Jun 2016) sebagai usaha memberikan pendedahan berkaitan aspek lakonan pentas kepada kanak-kanak, remaja, belia dan orang dewasa pelbagai kaum. Aspek lakonan pentas turut dimasukkan sebagai komponen utama Program Memartabatkan Bahasa Malaysia anjuran Kavyan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di SK Convent Aulong, Taiping (14-16 Mac 2016), SK Guru Kalgidhar, Ipoh (30-31 Mei 2016) dan SK Sri Langat, Banting (10-11 September 2016). Hasilnya amat memberangsangkan.

Rasional
Kavyan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, serta DHRRA Malaysia, memulakan Projek Komuniti Kavyan bagi penduduk sekitar Aulong dan Aulong Lama, Taiping pada Jun 2016. Pelbagai program dilaksanakan secara bulanan; misalnya Hari Keluarga Komuniti India (3 Jun 2016), Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016), Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (14 Ogos 2016), Bengkel Memperkasakan Wanita (25 September 2016), Temasya Bahasa (9 Oktober 2016), Program Pembimbing Rakan Sebaya (26 November 2016), serta Gotong-royong dan Permainan Tradisional (17 Disember 2016). Projek Komuniti Kavyan diteruskan pada tahun 2017 dalam usaha memperkasakan komuniti akar umbi, khususnya kaum India di Aulong Lama, Aulong dan kawasan sekitarnya. Program pembuka tirai tahun 2017 adalah Bengkel Lakonan Pentas yang dikendalikan untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan kanak-kanak dan remaja mengembangkan bakat dan kreativiti dalam bidang lakonan pentas. Bengkel ini dirangka secara ringkas tetapi menyeluruh bagi memastikan para peserta dapat sama-sama berhibur sambil mengembangkan asas bakat lakonan.

Objektif
1. Membimbing kanak-kanak dan remaja mengenali asas lakonan pentas
2. Menimbulkan minat dan kecintaan masyarakat terhadap seni persembahan
4. Membuka ruang kepada peserta membuat persembahan drama pentas
5. Mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam kalangan peserta
3. Menerapkan kemahiran insaniah kepada peserta menerusi lakonan

Bahasa
Bengkel dikendalikan dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris.

Peserta
Penyertaan terbuka kepada kanak-kanak dan remaja berumur minimum 7 tahun dan maksimum 17 tahun, serta tinggal di Aulong Lama, Aulong atau kawasan sekitarnya.

Pakaian Peserta
Para peserta diingatkan supaya memakai pakaian yang sopan dan selesa. Semasa bengkel, peserta perlu duduk bersila di lantai. Peserta juga perlu menjalani latihan lakonan, serta berlakon di pentas. Sila pilih pakaian yang sopan, sesuai dan selesa.

Barangan Keperluan
Para peserta perlu membawa alat tulis dan buku untuk mencatat nota.

Yuran Penyertaan
Bagi memastikan hanya individu yang benar-benar berminat dan benar-benar komited menyertai bengkel ini, peserta dikenakan bayaran seperti berikut:

Kanak-kanak (7-13 tahun) – RM2.00 sahaja
Remaja (14-17 tahun) – RM3.00 sahaja

Yuran penyertaan wajib diserahkan bersama-sama borang penyertaan. Borang tanpa yuran/bayaran tidak diterima. Yuran ini tidak dikembalikan jika peserta gagal hadir. Yuran ini juga tidak boleh dipindahkan sebagai bayaran bagi aktiviti lain pada masa hadapan.

Borang Penyertaan
Individu yang berminat menyertai Bengkel Lakonan Pentas perlu mendapatkan borang penyertaan daripada Puan Vanitha Murugan (AJK Sangam). Borang wajib diisi dengan lengkap menggunakan tulisan yang terang, jelas dan mudah dibaca, sebelum dikembalikan kepada Puan Vanitha bersama-sama yuran penyertaan.

Tarikh Tutup
Penyertaan ditutup secara muktamad pada 14 Januari 2017 (Sabtu). Borang yang lewat tidak dilayan.

Sijil Penyertaan
Sijil penyertaan hanya diberi kepada individu yang mengisi borang penyertaan; menjelaskan yuran penyertaan; menghadiri bengkel sepenuhnya (dari 2:00 petang hingga 6:30 petang); serta terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Peserta yang hadir tetapi sibuk dengan kerja lain (internet, telefon, berbual, menghilangkan diri dan sebagainya) tidak layak menerima sijil penyertaan. Sijil akan diberikan kemudian; iaitu semasa program seterusnya.

Pengisian Bengkel
Berikut adalah rangka atur cara bagi Bengkel Lakonan Pentas. Para peserta diingatkan supaya mematuhi Waktu Kavyan, serta tidak datang lewat bergaya (fashionably late). Hanya individu yang menyertai bengkel sepenuhnya (2:00 petang – 6:30 petang) mengikut syarat-syarat yang ditetapkan layak menerima sijil penyertaan.

1:30 – 2:00 petang
Pendaftaran peserta (pengesahan kehadiran)
Pendaftaran ditutup pada 2:00 petang [Waktu Kavyan]
Peserta yang lewat tidak layak menerima sijil

2:00 – 3:00 petang
Sesi memperkenalkan diri (peserta dan pembimbing)
Mengenali syarat dan peraturan asas lakonan pentas

3:00 – 4:00 petang
Pembahagian kumpulan dan pemilihan ketua
Membuat rangka cerita/skrip lakonan pentas

4:00 – 4:15 petang
Minum petang (layan diri)

4:15 – 5:00 petang
Membuat topeng dan peralatan lakonan
(Cari dan gunakan barangan kitar semula secara kreatif)

5:00 – 5:45 petang
Latihan berlakon (berkumpulan)
Cabaran menjadi pelakon serba boleh

5:45 – 6:00 petang
Menyusun kerusi untuk penonton
Ketibaan ibu, bapa, penjaga dan orang ramai
Pendaftaran kehadiran penonton

6:00 petang – 6:30 petang
Persembahan drama pentas oleh peserta (berkumpulan)
Sesi fotografi berkumpulan (termasuk ibu/bapa/penjaga)
Membersihkan dewan (tempat aktiviti)
Bersurai

Penutup dan Harapan
Bengkel Lakonan Pentas di bawah Projek Komuniti Kavyan pasti menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha mencapai objektif yang disenaraikan. Usaha ini juga bagi memastikan generasi muda kaum India di sekitar Aulong Lama, Taiping terlibat dalam aktiviti yang sihat dan membina diri. Bakat lakonan yang dikesan dalam kalangan peserta kanak-kanak dan remaja akan diberikan bimbingan berterusan untuk membuat persembahan di tempat-tempat terpilih, dan acara-acara terpilih pada masa hadapan.

Maklumat Lanjut

Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Projek Komuniti Kavyan.