25 Feb 2016

Memartabatkan Bahasa Malaysia di SK Convent Aulong

Tajuk Program
Memandangkan program dijalankan selama tiga hari, maka beberapa aspek digabungkan. Program Memartabatkan Bahasa Malaysia digabungkan dengan Bengkel Kesedaran dan Motivasi yang disasarkan kepada komuniti akar umbi, iaitu guru, ibu bapa, penjaga dan murid-murid SK Convent Aulong.

Penganjur Bersama
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia)
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Panitia Bahasa Melayu, SK Convent Aulong, Taiping

Tarikh
14-16 Mac 2016 (Isnin-Rabu)

Masa
8:00 pagi – 6:00 petang

Tempat
Dewan, SK Convent Aulong, Taiping

Pengenalan
Kempen “Memartabatkan Bahasa Malaysia” dimulakan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha murni menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid dan pelajar di dalam dan di luar waktu pembelajaran mata pelajaran teras berkenaan.

Menyedari hakikat bahawa jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular adalah terhad serta peluang menggunakan bahasa berkenaan di luar bilik darjah juga terhad, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP serta Kavyan menjalankan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di beberapa SJKT dan SJKC sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2015.

ITBM turut terlibat dalam membantu Kavyan menjayakan program galakan membaca dan program Memartabatkan Bahasa Malaysia.

DHRRA Malaysia adalah sebuah NGO yang antara lain mengendalikan pelbagai aktiviti yang disasarkan kepada kelompok murid dan penduduk akar umbi di luar bandar; khususnya komuniti India.

DHRRA Malaysia dan Kavyan bekerjasama dengan DBP untuk menjayakan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia yang dirangka khusus bagi sekumpulan murid SK Convent Aulong, Taiping. Turut diselitkan bengkel kesedaran dan motivasi yang disasarkan kepada murid-murid, para guru, ibu bapa dan penjaga.

Objektif
1. Menanam kecintaan terhadap Bahasa Malaysia
2. Memupuk minat membaca karya bermutu
3. Memberi motivasi kepada kanak-kanak dan ibu bapa di luar bandar
4. Mencungkil bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak
5. Mengenal pasti isu dan masalah dalam kalangan komuniti akar umbi

Maklumat Sekolah
SK Convent Aulong yang ditubuhkan pada 1954 terletak di Aulong, Taiping. Pada tahun 2015, terdapat 135 murid; iaitu 135 murid kaum India, 34 Melayu dan 5 Cina. Sejak 2003, tiada murid yang mendapat 5A dalam UPSR. Pelbagai foktor menyumbang kepada keadaan ini. Antaranya, kedudukan sosio-ekonomi yang rendah, kurang suntikan motivasi, ibu bapa yang kurang berpelajaran, serta persekitaran yang kurang kondusif. Walaupun para guru sangat dedikasi, kerjasama pihak luar diperlukan untuk membantu murid-murid sekolah ini membina keyakinan diri dan cemerlang dalam hidup, Motivasi dan ceramah kesedaran juga perlu ditujukan kepada ibu bapa. Menurut guru besar, para guru, PIBG, ibu bapa dan murid-murid sedia memberikan kerjasama jika ada pihak luar yang sudi mengendalikan program khas bagi mereka.

Bahasa Pengantar
Bengkel akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia, selaras usaha membina keyakinan diri dalam kalangan peserta (murid) yang menyertai bengkel ini. Sesi bersama ibu bapa pula boleh diselitkan Bahasa Tamil mengikut keperluan.

Jumlah Peserta
Pihak sekolah memilih 50 murid (Tahun 3-6) dari pelbagai latar sosio-ekonomi. Keutamaan diberi kepada murid-murid daripada keluarga yang memerlukan perhatian, supaya boleh disusuli oleh pihak DHRRA Malaysia dan Kavyan pada masa hadapan.

Pengisian Program
Berikut adalah rangka atur cara bagi program yang akan dijalankan. Pengisian dan pengendalian bengkel ini merangkumkan secara holistik visi, misi, objektif, strategi dan sasaran DBP, DHRRA Malaysia dan Kavyan.

Hari 1 – 14 Mac 2016 (Isnin)
Puisi Tradisional dan Puisi Moden

8:00 pagi – 8:30 pagi
Ucapan Guru Besar SK Convent Aulong
Ucapan Yang Dipertua PIBG SK Convent Aulong
Ucapan Presiden DHRRA Malaysia
(Ibu bapa, penjaga dan guru turut hadir)

8:30 pagi – 9:00 pagi
Sarapan

9:00 pagi – 11:00 pagi
Pengenalan kepada puisi tradisional (pantun)

11:00 pagi – 1:00 petang
Pengenalan kepada puisi moden dan penyair Malaysia

1:00 petang – 2:00 petang
Makan tengah hari

2:00 petang – 4:00 petang
Menulis puisi tradisional dan puisi moden

4:00 petang – 4:30 petang
Minum petang

4:30 petang – 6:00 petang
Persembahan puisi oleh peserta
(Ibu bapa, penjaga dan guru hadir sebagai penonton)

Hari 2 – 15 Mac 2016 (Selasa)
Cerita Rakyat

8:00 pagi – 8:30 pagi
Pendaftaran
Sarapan

8:30 pagi – 10:30 pagi
Menghayati cerita rakyat
Buku Nari! Nari! dijadikan teks

10:30 pagi – 12:30 tengah hari
Bimbingan mengolah skrip sketsa lakonan pendek

12:30 tengah hari – 1:30 petang
Makan tengah hari

1:30 petang – 3:30 petang
Latihan lakonan dengan bimbingan Kavyan

3:30 petang – 4:00 petang
Ketibaan ibu bapa dan penjaga
Ketibaan wakil DBP
Minum petang

4:00 petang – 6:00 petang
Ucapan Guru Besar
Ucapan wakil DBP
Persembahan lakonan cerita rakyat
(Ibu bapa, penjaga dan guru hadir sebagai penonton)

Hari 3 – 16 Mac 2016 (Rabu)
Cerita Pendek (Cerpen) dan Cerita Rekaan (Cereka)

8:00 pagi – 8:30 pagi
Sarapan

8:30 pagi – 10:30 pagi
Pengenalan kepada cerpen dan cereka, serta cerpenis Malaysia

10:30 pagi – 12:30 tengah hari
Bimbingan menulis cerpen dan cereka

12:30 tengah hari – 1:30 petang
Makan tengah hari

1:30 petang – 3:30 petang
Latihan menulis cerpen dan cereka
(Karya bermutu akan disalurkan ke majalah Dewan Pelajar)

3:30 petang – 4:00 petang
Minum petang

4:00 petang – 6:00 petang
Sesi perkongsian bersama-sama ibu bapa, penjaga dan murid-murid. Turut diselitkan motivasi dan kaunseling secara berkumpulan.

Pembimbing Utama
Uthaya Sankar SB mempunyai pengalaman amat luas dalam bidang media konvensional dan alternatif sejak 1992. Cerpen-cerpennya tersiar di hampir semua akhbar dan majalah arus perdana sejak 1992 serta mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah; termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99), dan Anugerah Duta Keamanan daripada Universal Peace Federation (2008). Sejak 1993, pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya ini berpengalaman mengendalikan bengkel penulisan, aktiviti penghayatan sastera dan program galakan membaca di seluruh negara.

Pembantu Pembimbing
Beberapa wakil Kavyan akan bertugas sebagai pembantu kepada Uthaya Sankar SB sepanjang bengkel tiga hari ini.

Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut berhubung bengkel ini, hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau Facebook.

Penutup dan Harapan
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia ini dijangka menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha mencapai objektif yang diinginkan Kementerian Pendidikan. Kedudukan DBP dan ITBM sebagai agensi bahasa dan sastera serta Kavyan sebagai penggiat bahasa dan sastera pasti akan membawa hasil yang diharapkan. DHRRA Malaysia pula prihatin terhadap usaha memperkasa komuniti akar umbi. Program tiga hari ini juga bagi memastikan generasi muda pelbagai kaum mencintai serta menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Program sama akan dilaksanakan di sekolah-sekolah lain yang menunjukkan minat. Program seterusnya di SK Guru Kalgidhar, Ipoh (30-31 Mei 2016).