Tuesday, 23 August 2016

Penghayatan Bahasa dan Sastera

Program
Temasya Bahasa

Aktiviti
Penghayatan Bahasa dan Sastera

Sempena
Bulan Bahasa Kebangsaan 2016

Anjuran Bersama
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia
Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama

Pengenalan
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan. BBK adalah gerakan besar-besaran di seluruh negara dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Pelbagai kegiatan BBK akan dilaksanakan di seluruh negara pada bulan Oktober 2016. Kempen ini bermula sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan pada 1960, kemudian dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada 1961. Seterusnya, dikenali sebagai Gerakan Cintailah Bahasa Kita (1987) dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (1999), sebelum dikenali semula sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan sejak 2009. Kavyan terlibat bersama-sama DBP dalam menjayakan program BBK sejak dahulu. Mesyuarat Jawatankuasa Induk BBK berlangsung di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 11 Ogos 2016 untuk merancang dan memulakan usaha melaksanakan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera sempena BBK 2016. Mesyuarat Kavyan dengan Pengarah Jabatan Sastera DBP berlangsung di Menara DBP pada 22 Ogos 2016 untuk memperincikan pengisian Temasya Bahasa. [Lihat jugaBicara Budaya Kaum India dalam Karya Bahasa Kebangsaan dan Baca Puisi dan Cerpen Kavyan]

Objektif
1. Mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap Bahasa Kebangsaan
2. Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan Bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan
3. Melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang berbangga dengan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun bangsa
4. Menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara

Tema
1 Bahasa, 1 Jiwa, 1 Bangsa

Rasional
Kavyan yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 menjalankan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama sebagai usaha mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, dan bahasa komunikasi. Kavyan juga sentiasa bekerjasama dengan DBP, DHRRA Malaysia, Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong dan pelbagai pihak lain untuk memperkasakan komuniti akar umbi menerusi aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Temasya Bahasa: Penghayatan Bahasa dan Sastera dirancang khusus untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak, remaja, belia dan golongan dewasa kaum India di Aulong Lama, Aulong dan kawasan sekitar Taiping, Perak mengenai keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti santai yang dirancang dan dilaksanakan pasti mencapai objektif BBK seperti diimpikan. [Lihat jugaBicara Budaya Kaum India dalam Karya Bahasa Kebangsaan]

Tarikh
9 Oktober 2016 (Ahad)

Masa
8:30 pagi – 2:00 petang

Tempat
Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping

Jumlah Peserta
Penyertaan terbuka kepada 100 penduduk pelbagai kaum, khususnya komuniti India, berumur minimum 7 tahun di Aulong Lama, Aulong dan kawasan sekitar Taiping, Perak. Peserta perlu boleh bercakap Bahasa Malaysia asas. Pencalonan nama peserta sebaik-baiknya dilakukan oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016) serta terlibat dalam Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (14 Ogos 2016). Kesemua peserta wajib menyertai aktiviti sepenuhnya untuk layak menerima sijil penyertaan.

Borang Penyertaan
Pemilihan peserta dibantu oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016) dan terlibat dalam Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (14 Ogos 2016). Pendaftaran perlu dilakukan dengan mengisi borang penyertaan rasmi secara dalam talian. Pastikan borang diisi dengan betul dan tepat sebelum dikirim. Setiap borang yang selamat diterima akan dijawab dalam masa 48 jam. Sekiranya tiada balasan, maknanya borang tidak diterima.

Alat Tulis
Para peserta perlu membawa alat tulis seperti pen, pensel, pemadam, pensel warna, gunting dan buku nota kerana peralatan ini TIDAK disediakan.

Sijil Penyertaan
Sijil penyertaan hanya diberikan kepada individu yang mendaftar awal menerusi borang penyertaan rasmi, mengesahkan kehadiran di tempat aktiviti (Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama) sebelum pukul 9:00 pagi pada 9 Oktober 2016, serta menyertai aktiviti sepenuhnya.

Tarikh Tutup
Pencalonan peserta [BORANG DI SINI] ditutup secara muktamad pada 30 September 2016, pukul 4:00 petang. Sebarang borang yang dikirim selepas itu tidak dilayan. Individu yang tidak mendaftar tidak dibenarkan menyertai aktiviti pada 9 Oktober 2016. Pertukaran peserta tidak dibenarkan. Pendaftaran ditutup awal sekiranya sudah ada 100 peserta.

Penyelarasan
Aktiviti ini diselaras dan dilaksanakan oleh wakil Kavyan, DHRRA Malaysia dan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama berdasarkan pengalaman bekerjasama mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya sejak awal 2016.

Pengisian Aktiviti
Berikut adalah rangka atur cara bagi aktiviti yang dicadangkan. Pengisian dan pengendalian aktiviti ini menerusi pendekatan didik-hibur merangkumkan secara holistik visi, misi, objektif, rasional strategi dan sasaran BBK.

8:30 pagi – 9:00 pagi
Pendaftaran peserta
9:00 pagi – 10:00 pagi
Permainan Bahasa
10:00 pagi – 10:30 pagi
Kudapan (makan-minum)
10:30 pagi – 11:30 pagi
Penghayatan Pantun Tradisional
11:30 pagi – 1:00 petang
Ekspresi Bahasa Menerusi Topeng
1:00 petang – 2:00 petang
Ucapan wakil penganjur
Penyampaian sijil penyertaan BBK
Hadiah peserta terbaik
Sesi fotografi berkumpulan

Penutup dan Harapan

Temasya Bahasa: Penghayatan Bahasa dan Sastera diyakini mampu menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha memupuk kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dalam kalangan kanak-kanak, remaja, belia dan golongan dewasa kaum India di Aulong Lama, Aulong dan sekitarnya dengan cara yang menghiburkan, selaras objektif BBK. Para peserta ini serta keluarga mereka (kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa) akan terus menjadi kumpulan sasaran bagi pelbagai Program Memperkasakan Komuniti yang dirancang oleh Kavyan dan DHRRA Malaysia. [Lihat jugaBicara Budaya Kaum India dalam Karya Bahasa Kebangsaan dan Baca Puisi dan Cerpen Kavyan]