Monday, 18 July 2016

Memartabatkan Bahasa Malaysia di Aulong Lama


Aktiviti
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di Aulong Lama

Penganjur
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia)
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping
Para Penyumbang Budiman

Tarikh
14 Ogos 2016 (Ahad)

Masa
8:30 pagi – 1:30 petang

Tempat
Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping

Latar Belakang Program
DBP, DHRRA Malaysia, dan Kavyan menjayakan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) di SK Convent Aulong, Taiping pada 14-16 Mac 2016; dan di SK Guru Kalgidhar, Ipoh pada 30-31 Mei 2016. Program sama akan dilaksanakan di SK Sri Langat, Banting pada 10-11 September 2016. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mencapai objektif yang disasarkan. [MAKLUMAT TAIPING DI SINI] [MAKLUMAT IPOH DI SINI] [MAKLUMAT BANTING DI SINI] Pengalaman itu membuktikan bahawa selain di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Program Memartabatkan Bahasa Malaysia perlu juga dibuat di Sekolah Kebangsaan (SK), khususnya jika terdapat majoriti murid Bukan Melayu.

Maklumat Komuniti Sasaran
Kavyan dan DHRRA Malaysia menganjurkan Hari Keluarga Komuniti India (3 Jun 2016) serta Program Latihan Kepimpinan dan Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan (17 Julai 2016) di Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama. Penduduk kaum India di Aulong Lama, Aulong dan sekitarnya menjadi sasaran projek bulanan sebagai usaha memperkasa komuniti akar umbi. Bagi Program Memartabatkan Bahasa Malaysia pada 14 Ogos 2016, kelompok sasaran adalah kanak-kanak dan remaja awal.

Objektif
1. Menggalakkan serta memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja luar bandar.
2. Menimbulkan minat dan kecintaan generasi muda terhadap Bahasa Malaysia.
3. Memupuk minat membaca buku cerita Bahasa Malaysia dalam kalangan komuniti India luar bandar.
4. Membuka ruang kanak-kanak dan remaja meluahkan isi hati dan kreativiti menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi.

Bahasa
Bengkel akan dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia, selaras objektif program serta usaha membina keyakinan diri dalam kalangan peserta (murid/pelajar) yang menyertai bengkel ini.

Jumlah Peserta
Penyertaan terbuka kepada 30 murid/pelajar berumur minimum 9 tahun dan maksimum 15 tahun; iaitu individu yang lahir antara tahun 2001 dan 2007. Pencalonan nama peserta (murid/pelajar) dilakukan oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016). Keutamaan penyertaan diberi kepada kanak-kanak dan remaja daripada keluarga yang menerima sumbangan barangan makanan (17 Julai 2016). Kesemua peserta (murid/pelajar) wajib menyertai aktiviti sepenuhnya untuk layak menerima sijil penyertaan.

Borang Penyertaan
Pemilihan peserta diuruskan oleh pemimpin komuniti yang menyertai Program Latihan Kepimpinan (17 Julai 2016). Setiap pemimpin komuniti (pencadang) hanya boleh mencadangkan dua murid/pelajar sebagai peserta. Pencalonan wajib dilakukan dengan mengisi borang penyertaan rasmi secara dalam talian. Pastikan borang diisi dengan betul dan tepat sebelum dikirim. Setiap borang yang selamat diterima akan dijawab dalam masa 48 jam. Sekiranya tiada balasan, maknanya borang tidak diterima.

Tarikh Tutup
Pencalonan peserta [BORANG DI SINI] ditutup secara muktamad pada 31 Julai 2016, pukul 4:00 petang. Sebarang borang yang dikirim selepas itu tidak dilayan. Individu yang tidak mendaftar tidak dibenarkan menyertai program pada 14 Ogos 2016. Pertukaran peserta tidak dibenarkan.

Pembimbing Utama
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya dan jurulatih bertauliah HRDF. Beliau berpengalaman mengendalikan bengkel penulisan, aktiviti penghayatan sastera dan program galakan membaca di seluruh negara. Kumpulan cerita rakyat India berjudul Nari! Nari! (2015) ditulis khusus untuk memupuk minat membaca kanak-kanak pelbagai kaum.

Pembantu Pembimbing
Keluarga Kavyan akan bertugas sebagai pembantu kepada Uthaya Sankar SB sepanjang program. Sekitar 5 ahli jawatankuasa Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama akan turut dilantik menjadi pembantu.

Pengisian Program
Berikut adalah rangka atur cara bagi program yang dicadangkan. Pengisian dan pengendalian bengkel ini secara didik-hibur merangkumkan secara holistik visi, misi, strategi dan sasaran Program Memartabatkan Bahasa Malaysia.

8:30 pagi – 9:00 pagi
Pendaftaran murid/pelajar (peserta)
Sarapan (untuk peserta dan pembantu pembimbing)
9:00 pagi – 10:00 pagi
Permainan Bahasa
10:00 pagi – 11:00 pagi
Nyanyian “Rasa Sayang”
Nyanyian “Jambu Air”
11:00 pagi – 12:00 tengah hari
Ekspresi Menerusi Topeng
12:00 tengah hari – 1:00 petang
Ekspresi Menerusi Lukisan
1:00 petang – 2:00 petang
Penyampaian sijil penyertaan
Sesi fotografi berkumpulan
Makan tengah hari (peserta dan pembantu pembimbing)

Penutup dan Harapan
Program Memartabatkan Bahasa Malaysia diyakini mampu menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha memupuk kecintaan terhadap Bahasa Malaysia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kaum India di Aulong Lama, Aulong dan sekitarnya. Para peserta ini serta keluarga mereka (kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa) akan menjadi kumpulan sasaran bagi pelbagai program bulanan yang dirancang oleh Kavyan dan DHRRA Malaysia.