Friday, 14 October 2016

Program Pembimbing Rakan Sebaya

Projek
Program Memperkasakan Komuniti
Program Latihan Kepimpinan

Aktiviti
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)

Tarikh
26 November 2016 (Sabtu)

Masa
1:00 petang – 6:00 petang

Tempat
Dewan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama
285 Lorong K, Aulong Lama, 34000 Taiping

Penganjur Bersama
Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong Lama
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia)

Rasional
Hari Keluarga Komuniti India dianjurkan di Aulong Lama, Taiping pada 3 Jun 2016 untuk mengetahui secara lebih dekat dan mendalam keperluan komuniti di Aulong, Aulong Lama dan sekitarnya. Perbincangan meja bulat yang diadakan bersama-sama sekitar 100 penduduk menunjukkan bahawa pelbagai masalah sosial, ekonomi dan pendidikan memerlukan perhatian segera. Golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas di sekitar Aulong Lama memerlukan perhatian dari pelbagai sudut. Sebagai langkah permulaan, Program Latihan Kepimpinan diadakan pada 17 Julai 2016 untuk mendidik golongan belia tempatan menjadi pemimpin komuniti yang mampu memainkan peranan ke arah mobiliti sosial. Semasa Penyampaian Sumbangan Barangan Makanan (17 Julai 2016), maklumat lebih banyak keluarga dikumpulkan untuk tujuan rekod, dan untuk memudahkan urusan perancangan aktiviti. Pada 14 Ogos 2016, Program Memartabatkan Bahasa Malaysia diadakan khusus bagi kanak-kanak dan remaja sebagai usaha menarik golongan muda ini terus menyertai Program Memperkasakan Komuniti anjuran Kavyan. Menyedari hakikat kedudukan golongan wanita sebagai teraju utama dalam kebanyakan keluarga dalam komuniti, maka Bengkel Memperkasakan Wanita dianjurkan pada 25 September 2016. Seterusnya, Temasya Bahasa yang disertai lebih 100 penduduk berlangsung pada 9 Oktober 2016 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Hasil maklum balas penduduk dan pemimpin komuniti, Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dirangka dan diatur berbekalkan tenaga, kepakaran dan pengalaman Kavyan. Program berbentuk kaunseling berkumpulan ini dirangka secara holistik sambil mengambil kira hakikat bahawa golongan remaja (14-18 tahun) merupakan kelompok berisiko tinggi yang wajar dibimbing; sekali gus membimbing mereka menjadi PRS.

Objektif
1. Memahami persoalan dan isu yang dihadapi golongan remaja dalam kalangan kelompok berisiko tinggi
2. Mengumpulkan biodata golongan remaja; seperti latar pendidikan, kemahiran, keluarga dan cita-sita
3. Membuka ruang kepada golongan remaja untuk meluahkan pandangan dan hujah berhubung masalah sosial, keluarga dan pendidikan
4. Memperkasa golongan remaja menerusi sesi kaunseling berkumpulan, motivasi dan perkongsian maklumat
5. Merancang program susulan untuk golongan remaja dan pelajar

Peserta
Jumlah peserta adalah 25-30 orang sahaja. Golongan remaja yang mahu menyertai bengkel ini mestilah tinggal di Aulong Lama, Aulong atau kawasan sekitar Taiping, Perak.

Bahasa
Program dikendalikan dalam Bahasa Tamil supaya sesuai dengan golongan sasaran. Bahasa Malaysia dan Inggeris akan digunakan mengikut keperluan.

Borang Penyertaan
Individu yang berminat menyertai Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) perlu mendapatkan borang penyertaan rasmi dan senarai syarat penyertaan daripada salah seorang pemimpin komuniti dalam Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama.

Tarikh Tutup
Individu yang berminat perlu menyerahkan borang kepada AJK Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama selewat-lewatnya pada 20 November 2016 (Ahad). Penyertaan lewat tidak diterima. Borang yang tidak lengkap tidak dilayan. Penyertaan akan ditutup lebih awal jika jumlah peserta sudah mencukupi.

Pembimbing
Kesemua sesi dalam Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) akan diterajui wakil Kavyan dan pemimpin komuniti yang dilantik oleh penganjur; sambil dipantau jurulatih bertauliah.

Sijil Penyertaan
Peserta berdaftar yang menyertai bengkel ini sepenuhnya, serta terlibat secara aktif dalam kesemua aktiviti yang dijalankan sahaja layak menerima sijil penyertaan yang ditandatangani Saravanan M. Sinapan (Presiden DHRRA Malaysia) dan Uthaya Sankar SB (jurulatih bertauliah HRDF). Sijil hanya layak diterima oleh peserta yang mendaftar sebelum tarikh tutup. Bagi mengelakkan pembaziran (jika ada peserta yang tidak hadir), maka sijil hanya akan dicetak selepas program tamat.

Pengisian Program
Berikut rangka atur cara program. Para peserta diingatkan supaya mematuhi masa yang ditetapkan kerana program dijalankan mengikut Waktu Kavyan.

1:00 petang – 2:00 petang
Pengesahan pendaftaran peserta
Penyerahan biji benih sebagai “pengeras”
Makan tengah hari
[Pendaftaran ditutup secara muktamad pukul 2:00 petang]
2:00 petang – 3:00 petang
“Inilah Saya!”
Sesi memperkenalkan diri dan keluarga
3:00 petang – 4:00 petang
“Inilah Remaja!”
Perkongsian pandangan mengenai situasi, realiti, masalah, cabaran, harapan dan masa depan golongan remaja dalam keluarga, sekolah, masyarakat, persatuan, pendidikan tinggi, pekerjaan dan sebagainya
4:00 petang – 4:15 petang
Minum petang
4:15 petang – 5:00 petang
“Inilah Remaja!”
Perkongsian pandangan mengenai cara-cara mengatasi isu dan masalah yang dibincangkan pada sesi lalu.
5:00 petang – 5:45 petang
“Bantu Kami Memperkasakan Diri”
Perancangan aktiviti masa depan, jenis bantuan yang diperlukan, cara melaksanakan Program PRS sepanjang tahun 2017
5:45 petang – 6:00 petang
Ucapan wakil peserta (remaja)
Ucapan wakil penganjur
Sesi fotografi berkumpulan
[Sijil akan diberikan kemudian]

Penutup
Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang dikendalikan sebagai sebahagian Program Memperkasakan Komuniti dan Program Latihan Kepimpinan pasti mencapai sasaran berkat kerjasama semua pihak terbabit. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan.