Monday, 6 November 2017

Pertunjukan Anekaragam

Program
Pertunjukan Anekaragam

Tarikh
9 Disember 2017 (Sabtu)

Masa
2:00 petang – 6:00 petang

Tempat
Dewan Sangam, Lorong K, Aulong Lama, Taiping, Perak
Waze – Lorong K, Taiping, Perak

Penganjur
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping (Sangam)
Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah)
Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak (Kelab Kesedaran)
Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya

Pengenalan
Projek Komuniti Kavyan dimulakan di Aulong Lama, Taiping, Perak pada Jun 2016. Program bulanan yang dijalankan sehingga kini termasuk Program Latihan Kepimpinan, Program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Bengkel Memperkasakan Wanita, Temasya Bahasa, Program Pembimbing Rakan Sebaya, Bengkel Lakonan Pentas, Bengkel Keluarga Harmoni, Bengkel Mencungkil Kreativiti, Bakat Seni dan Budaya Kaum India, Baca Cerpen Siru Kambam III, Bengkel Baca Cerpen Kavyan, Program Memperkasakan Remaja dan  Kem Bangga Komuniti. Aktiviti mingguan pula termasuk kelas Thevaram, latihan kolattam, kelas silambam, Kelas Malam dan permainan badminton. [Maklumat lanjut]

Kesemua program ini dijayakan dengan kerjasama dan komitmen sekumpulan belia dan pemimpin komuniti. Golongan kanak-kanak dan remaja, serta golongan wanita dan suri rumah daripada kelompok B40 (keluarga berpendapatan rendah) di Aulong Lama, Aulong dan sekitarnya (Taiping) merupakan majoriti peserta Projek Komuniti Kavyan. [Maklumat lanjut]

Rasional
Dalam Bab 5 Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017), dinyatakan hakikat komuniti India yang merupakan “penyumbang penting kepada sejarah pembangunan sosioekonomi, kepelbagaian budaya dan kehidupan seharian di negara ini.”

Salah satu sasaran peningkatan penyertaan sosial yang digariskan adalah “memperbaiki persepsi terhadap komuniti India Malaysia oleh mereka yang berada dalam kalangan komuniti itu sendiri dan juga orang luar [kaum-kaum lain].”

Kempen “Bangga Komuniti” yang dicadangkan menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia mensasarkan untuk “mewujudkan kesedaran pada peringkat kebangsaan mengenai kisah-kisah pencapaian komuniti India Malaysia dalam pelbagai sektor, berganding bahu dengan kumpulan etnik lain di Malaysia, dengan menonjolkan individu dan pasukan yang cemerlang seperti penulis, pendidik, usahawan, ahli sains, dermawan, personaliti sukan, artis dan belia yang berprestasi tinggi” serta bertujuan “mencetuskan keinginan untuk berubah dalam kalangan komuniti India Malaysia secara umumnya, dan keluarga yang bermasalah secara khususnya.”

Pertunjukan Anekaragam pada 9 Disember 2017 akan membuka peluang kepada peserta (kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas) untuk memupuk sikap “bangga komuniti” dengan mempamerkan aspek seni, budaya, dan keunikan kaum India – khasnya keturunan Tamil, Malayali, TeluguPunjabi dan Chetti Melaka – menerusi pertunjukan anekaragam.

Komponen “Anekaragam”
Istilah “aneka” (pelbagai) dan “ragam” (jenis) berasal daripada perkataan Tamil. Konsep “anekaragam” yang dimaksudkan dalam Pertunjukan Anekaragam merangkumi aspek seni, budaya, muzik, pakaian, tokoh, bahasa, sastera dan sebarang keunikan yang berhubung kait dengan masyarakat Tamil, Telugu, MalayaliPunjabi dan Chetti Melaka di Malaysia; khasnya di negeri Perak.

Aspek seni, budaya, muzik, tokoh dan sebagainya yang berkaitan dengan Benua Kecil India – tanpa kaitan secara langsung dengan kaum India di Malaysia – tidak digalakkan. Penampilan tokoh-tokoh politik, artis, dewa-dewi dan sebagainya yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama di Malaysia adalah dilarang sama sekali.

Kreativiti
Peserta perlu menggunakan kreativiti apabila menyertai Pertunjukan Anekaragam. Peserta dinasihatkan supaya tidak membazir wang untuk membuat persiapan atau membeli barang-barang. Sebaliknya, peserta diminta menggunakan barang-barang yang sedia ada – khasnya melalui cara kitar semula (recycle) dan guna semula (reuse). Markah diberi kepada daya kreativiti – bukan kepada harga barangan yang dibeli. Peserta yang meniru gaya tarian dari filem dianggap tidak memenuhi ciri kreativiti yang dikehendaki. Aspek kesenian dan kebudayaan tradisional kaum India diberi keutamaan.

Tempoh Persembahan
Setiap peserta wajib membuat persembahan selama satu minit sahaja di pentas. Persembahan adalah secara individu (bukan berpasangan atau berkumpulan). Persembahan yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) nyanyian, memperaga pakaian, tarian, bermain alat muzik, berucap, menyampaikan dialog, baca sajak, berlakon, bercerita dan sebagainya yang memenuhi konsep “pertunjukan anekaragam” seperti diterangkan di atas. Jika persembahan kurang daripada 1 minit, maka peserta diberi 0 markah.

Jawatankuasa Pelaksana
Bagi memastikan program dirancang dan dilaksanakan secara berkesan, penganjur Projek Komuniti Kavyan melantik pegawai berikut untuk bertugas.

Pengerusi – M. Vanitha Murugan
Setiausaha – Mariamah P. Kumarasamy
Bendahari – Magesuary Chrishnan
Tugas Khas I – Loganathan Veloo
Tugas Khas II – Jegavani Lengkan
Tugas Khas III – Christiana Francis
Tugas Khas IV – Chitradevi P. Krishnan

Jawatankuasa Pelaksana berhak menolak dan membatalkan penyertaan mana-mana individu yang didapati tidak memenuhi syarat penyertaan.

Penyelaras Program
Uthaya Sankar SB yang merupakan Presiden Kavyan, Pengerusi Insaniah, dan Setiausaha Kelab Kesedaran. Beliau juga pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya.

Kelayakan Peserta
Penyertaan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama, umur, latar belakang dan tempat tinggal. Kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas boleh menjadi peserta. Setiap peserta wajib patuh pada semua syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Bagi individu (kanak-kanak dan remaja) yang telah menyertai Program Memperkasakan Remaja (31 Ogos – 1 September 2017) dan Kem Bangga Komuniti (3 – 4 November 2017), mereka wajib membawa seorang peserta baharu jika mahu turut mengambil bahagian dalam Pertunjukan Anekaragam.

Peserta kanak-kanak dan remaja juga wajib memastikan ibu, bapa atau penjaga hadir membantu membuat persiapan dan menyaksikan persembahan. Ini salah satu syarat penyertaan yang wajib dipatuhi. Langkah ini bagi memastikan ibu, bapa dan penjaga turut menunjukkan minat terhadap penyertaan anak/jagaan mereka dalam pelbagai program di bawah Projek Komuniti Kavyan.

Ibu, bapa dan penjaga juga boleh menjadi peserta – dengan mengisi borang penyertaan. Atau mereka boleh datang membantu peserta membuat persiapan. Jika ibu, bapa atau penjaga tidak hadir, maka anak-anak/jagaan mereka tidak boleh menjadi peserta.

Borang Penyertaan
Setiap individu yang mahu mengambil bahagian perlu mengambil borang penyertaan dari Dewan Sangam. Borang yang sudah lengkap diisi, berserta bayaran, perlu diserahkan semula kepada Jawatankuasa Pelaksana di Dewan Sangam.

Bayaran Penyertaan
Setiap peserta dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM3.00 sahaja. Bayaran tidak dikembalikan jika peserta tidak hadir atau menarik diri.

Tarikh Tutup
Permohonan ditutup secara muktamad pada 30 November 2017. Penyertaan lewat, borang yang tidak lengkap, serta borang yang tidak dihantar semula ke Dewan Sangam, tidak akan dilayan.

Pemarkahan
Pemarkahan dilakukan oleh pengadil yang dilantik. Markah hanya diberi kepada peserta yang memenuhi semua syarat serta membuat persembahan di pentas selama 1 minit. Markah berdasarkan kreativiti peserta – bukan berdasarkan harga pakaian/barangan yang digunakan. Semua peserta wajib berada di dalam dewan sepanjang Pertunjukan Anekaragam berlangsung. Sesiapa yang keluar dari dewan sebelum atau selepas membuat persembahan, atau jika didapati tidak berdisiplin, maka akan diberi 0 markah dan tidak layak diberi hadiah dan sijil penyertaan. Keputusan pengadil adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

Rangka Atur Cara
Berikut rangka atur cara sebagai panduan orang ramai:

2:00 petang
Pengesahan kehadiran peserta berdaftar
Ibu, bapa atau penjaga wajib hadir sama (bagi peserta kanak-kanak dan remaja)
Sila bawa semua barangan yang diperlukan

2:30 petang
Pengesahan kehadiran ditutup. Peserta yang lewat tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam Pertunjukan Anekaragam. Hanya menjadi penonton.
Taklimat dan penerangan kepada peserta dan ibu, bapa, serta penjaga.

3:00 petang
Peserta Pertunjukan Anekaragam membuat persiapan.
Persiapan/latihan muzik latar (jika ada).
Sesi fotografi peserta secara individu di pentas.

4:00 petang
Pertunjukan Anekaragam
Giliran persembahan adalah secara undian (tidak boleh pilih).
Setiap peserta wajib membuat persembahan selama 1 minit.
Pemarkahan dilakukan oleh pengadil yang dilantik.

5:00 petang
Minum petang
Pengiraan markah oleh pengadil

5:30 petang
Penyampaian sijil penyertaan Kem Bangga Komuniti
Penyampaian hadiah Pertunjukan Anekaragam.
(Sijil penyertaan akan diberi pada Januari 2018)
Sesi fotografi berkumpulan -- [FOTO DI SINI]
Membersihkan dewan (gotong-royong)
Bersurai -- [Acara seterusnya: Kem Keluarga Bahagia]

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan
Hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan. Penduduk sekitar Aulong Lama dan Aulong, Taiping boleh terus bertemu dengan Jawatankuasa Pelaksana di Dewan Sangam untuk mendapatkan penjelasan bagi sebarang pertanyaan mengenai program ini.