Saturday, 9 December 2017

Kem Keluarga Bahagia

Program
Kem Keluarga Bahagia

Tarikh
13 Januari 2018 (Sabtu)

Masa
2:00 – 6:00 petang [Waktu Kavyan]

Tempat
Dewan Sangam, Lorong K, Aulong Lama, Taiping, Perak
Waze – Lorong K, Taiping, Perak

Penganjur Bersama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping (Sangam)
Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah)
Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak (Kelab Kesedaran)
Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya

Pengenalan
Projek Komuniti Kavyan dimulakan di Aulong Lama, Taiping, Perak pada Jun 2016. Program bulanan yang dijalankan sehingga kini termasuk Program Latihan Kepimpinan, Program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Bengkel Memperkasakan Wanita, Temasya Bahasa, Program Pembimbing Rakan Sebaya, Bengkel Lakonan Pentas, Bengkel Keluarga Harmoni, Bengkel Mencungkil Kreativiti, Bakat Seni dan Budaya Kaum India, Baca Cerpen Siru Kambam III, Bengkel Baca Cerpen Kavyan, Program Memperkasakan Remaja, Kem Bangga Komuniti dan Pertunjukan Anekaragam. Aktiviti mingguan pula termasuk kelas Thevaram, latihan kolattam, kelas silambam, Kelas Malam dan permainan badminton. [Maklumat lanjut]

Kesemua program ini dijayakan dengan kerjasama dan komitmen sekumpulan belia, remaja dan pemimpin komuniti. Golongan kanak-kanak dan remaja, serta golongan wanita dan suri rumah daripada kelompok B40 (keluarga berpendapatan rendah) di Daerah Larut dan Matang, Perak merupakan majoriti peserta Projek Komuniti Kavyan. [Maklumat lanjut]

Objektif
1. Memberi peluang kepada anak-anak untuk meluahkan perasaan dan pandangan dalam suasana yang sesuai dan kondusif
2. Memberi peluang kepada ibu bapa untuk meluahkan perasaan, pandangan dan harapan dalam suasana yang kondusif
4. Membuka peluang ke arah interaksi positif dan harmoni melibatkan anak-anak dan ibu bapa ke arah pembinaan keluarga bahagia
5. Mewujudkan persefahaman, kasih-sayang, dan perasaan saling memahami serta harmoni antara anak-anak dan ibu bapa
3. Memperkasakan institusi keluarga dengan mengambil contoh daripada kisah-kisah dalam buku Ikan Patin dan Beruang Besar (2017) dan Mandala Bicara (2016) [Kedua-dua buku ini diberikan sebagai hadiah program Pertunjukan Anekaragam pada 9 Disember 2017)

Peserta
Penyertaan terbuka kepada penduduk di Daerah Larut dan Matang, Perak. Peserta TIDAK BOLEH terlibat dalam program ini secara individu. Perlu ada penyertaan sekurang-kurangnya seorang anak (berumur bawah 20 tahun) dan seorang ibu/bapa/datuk/nenek.

Pakaian Peserta
Para peserta diingatkan supaya memakai pakaian yang sopan, sesuai dan selesa. Peserta mungkin perlu terlibat dalam aktiviti permainan dan aktiviti lasak.

Barangan Keperluan
Para peserta (sekeluarga) wajib membawa buku Ikan Patin dan Beruang Besar atau Mandala Bicara. Setiap peserta juga perlu membaca buku nota dan alat tulis. Tidak dibenarkan berkongsi alat tulis dan buku nota.

Borang Penyertaan
Setiap individu yang mahu mengambil bahagian perlu mengambil borang penyertaan dari Dewan Sangam. Borang yang sudah lengkap diisi, berserta bayaran, perlu diserahkan semula kepada Jawatankuasa Pelaksana di Dewan Sangam.

Bayaran Penyertaan
Setiap peserta dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM3.00 sahaja. Bayaran tidak dikembalikan jika peserta tidak hadir atau menarik diri.

Tarikh Tutup
Permohonan ditutup secara muktamad pada 23 Disember 2017. Penyertaan lewat, borang yang tidak lengkap atau tidak diisi dengan betul, tidak disertakan bayaran, serta borang yang tidak dihantar semula ke Dewan Sangam, tidak akan dilayan.

Jawatankuasa Pelaksana
Bagi memastikan program dirancang dan dilaksanakan secara berkesan, Kavyan selaku penganjur Projek Komuniti Kavyan melantik pegawai berikut untuk bertugas.

Penyelaras – M. Vanitha Murugan
Pengerusi – Mariamah P. Kumarasamy
Pen. Pengerusi – Manju Subramaniam
Setiausaha – Magesuary Chrishnan
Pen. Setiausaha – Harini Subramaniam
Bendahari – Jegavani Lengkan
Pen. Bendahari – Pavitthirah Mathiyalagan
Tugas Khas – Loganathan Veloo

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana
Tarikh tutup penyertaan pada 23 Disember 2017. Jawatankuasa Pelaksana wajib mengadakan Mesyuarat Pertama selewat-lewatnya pada 31 Disember 2017 dan melaporkan perkembangan kepada Uthaya Sankar SB. Mesyuarat Kedua pada 12 Januari 2018 akan dipengerusikan oleh Uthaya Sankar SB.

Sijil Penyertaan
Sijil penyertaan hanya diberi kepada individu yang mengisi borang penyertaan; menjelaskan yuran penyertaan; hadiri sepenuhnya (dari 2:00 petang hingga 6:00 petang); serta terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Peserta yang hadir tetapi sibuk dengan kerja lain (internet, telefon, berbual, menghilangkan diri dan sebagainya) tidak layak menerima sijil penyertaan. Sijil akan diberikan kemudian; iaitu semasa program seterusnya.

Pengisian Bengkel
Berikut adalah rangka atur cara bagi Kem Keluarga Bahagia. Para peserta diingatkan supaya mematuhi Waktu Kavyan, serta tidak datang lewat bergaya (fashionably late).

1:30 petang
Ketibaan Jawatankuasa Pelaksana

2:00 petang
Pendaftaran peserta (pengesahan kehadiran)
Pendaftaran peserta ditutup pada 2:30 petang [Waktu Kavyan]
Peserta yang lewat tidak dibenarkan menyertai program!
Pendaftaran keahlian Kelab Kesedaran (oleh AJK kelab)

2:30 petang
Sesi 1 – Dari Buku ke Realiti
Peserta (berkumpulan) membaca satu cerpen (dalam buku Ikan Patin dan Beruang Besar) dan satu esei (dalam buku Mandala Bicara), lalu membincangkan aspek-aspek yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian ke arah mewujudkan keluarga bahagia.

3:30 petang
Sesi 2 – Pembentangan Berkumpulan
Setiap kumpulan membuat pembentangan/persembahan di pentas berdasarkan hasil perbincangan dalam Sesi 1.

4:30 petang
Sesi 3 – Transformasi Keluarga Bahagia
Sesi forum dan perbahasan untuk berkongsi pandangan, hujah, kritikan dan cadangan berdasarkan pengalaman sendiri dalam merealisasikan keluarga bahagia.
Sesi kuiz dan permainan santai melibatkan ahli keluarga.

5:00 petang
Minum petang
Makan-minum disediakan oleh ibu Chitra sempena hari jadi beliau

5:30 petang
Ucapan tetamu undangan
Penyampaian sijil penyertaan Pertunjukan Anekaragam
Sesi fotokopi berkumpulan peserta Kem Keluarga Bahagia
Gotong-royong membersihkan kawasan luar/dalam Dewan Sangam

Penutup dan Harapan
Kem Keluarga Bahagia di bawah Projek Komuniti Kavyan pasti menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha mencapai objektif yang disenaraikan. Usaha ini juga bagi memastikan kaum India di Daerah Larut dan Matang, Perak terlibat dalam aktiviti yang sihat dan membina diri; selain mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan keharmonian ke arah melahirkan keluarga bahagia.

Maklumat Lanjut
Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my jika ada sebarang pertanyaan berkaitan Projek Komuniti Kavyan. Orang ramai juga boleh menyumbang kepada Tabung Projek Komuniti Kavyan bagi membantu menampung kos pengendalian projek.