23 Aug 2016

Baca Puisi dan Cerpen Kavyan

Program
Temasya Bahasa

Aktiviti
Baca Puisi dan Cerpen Kavyan

Sempena
Bulan Bahasa Kebangsaan 2016

Anjuran Bersama
Pusat Kebudayaan India (NSCBICC)

Pengenalan
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan. BBK adalah gerakan besar-besaran di seluruh negara dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Pelbagai kegiatan BBK akan dilaksanakan di seluruh negara pada bulan Oktober 2016. Kempen ini bermula sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan pada 1960, kemudian dinamakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada 1961. Seterusnya, dikenali sebagai Gerakan Cintailah Bahasa Kita (1987) dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (1999), sebelum dikenali semula sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan sejak 2009. Kavyan terlibat bersama-sama DBP dalam menjayakan program BBK sejak dahulu. Mesyuarat Jawatankuasa Induk BBK berlangsung di Kementerian Pendidikan, Putrajaya pada 11 Ogos 2016 untuk merancang dan memulakan usaha melaksanakan pelbagai aktiviti bahasa dan sastera sempena BBK 2016. Mesyuarat Kavyan dengan Pengarah Jabatan Sastera DBP berlangsung di Menara DBP pada 22 Ogos 2016 untuk memperincikan pengisian Temasya Bahasa. [Lihat juga – Penghayatan Bahasa dan Sastera di Aulong Lama]

Objektif
1. Mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap Bahasa Kebangsaan
2. Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan Bangsa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan
3. Melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang berbangga dengan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun bangsa
4. Menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara

Tema
1 Bahasa, 1 Jiwa, 1 Bangsa

Rasional
Kavyan yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 menjalankan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama sebagai usaha mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu, dan bahasa komunikasi. Kavyan juga sentiasa bekerjasama dengan DBP, DHRRA Malaysia, Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Kebajikan Masyarakat India, Aulong dan pelbagai pihak lain untuk memperkasakan komuniti akar umbi menerusi aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Temasya Bahasa: Baca Puisi dan Cerpen Kavyan dirancang khusus untuk memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum mempersembahan karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan kelompok Penulis Malaysia. Aktiviti santai yang dirancang dan dilaksanakan pasti mencapai objektif BBK seperti diimpikan. [Lihat juga – Penghayatan Bahasa dan Sastera di Aulong Lama]

Tarikh
16 Oktober 2016 (Ahad)

Masa
9:30 pagi – 1:00 petang

Tempat
Dewan Netaji Subhash Chandra Bose, Pusat Kebudayaan India (ICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields. (Rujuk peta)
WazeMenara Sentral Vista.

Pemilihan Karya
Peserta perlu memilih sendiri puisi (sajak) atau petikan cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Penulis Malaysia. Karya (puisi/cerpen) mestilah karya asli, bukannya terjemahan, dan sudah pernah tersiar. Penulis Malaysia yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak terhad kepada) penulis kaum India [senarai di sini], kaum Melayu, kaum Cina, Orang Asal (Orang Asli), keturunan Siam, serta Bumiputera Bukan Melayu di Sabah, dan Bumiputera Bukan Melayu di Sarawak. Pemilihan kelompok Penulis Malaysia adalah untuk menonjolkan sumbangan kumpulan penulis pelbagai kaum dalam memperkaya khazanah sastera bahasa kebangsaan.

Teks Karya
Para peserta perlu membawa sendiri teks puisi/cerpen untuk persembahan pada tarikh acara. Teks TIDAK disediakan oleh penganjur. Judul karya (puisi/cerpen) dan nama penulis perlu dinyatakan semasa mengisi borang penyertaan. Penukaran teks tidak dibenarkan selepas borang pendaftaran dihantar. 

Tempoh Persembahan
Setiap peserta hanya dibenarkan membuat persembahan (baca teks) di pentas selama 5–6 minit. Sila pastikan puisi/sajak atau petikan cerpen yang dipilih adalah sesuai untuk dipersembahkan dalam masa 5–6 minit. 

Jumlah Peserta
Penyertaan terbuka kepada 50 peserta pelbagai kaum berumur minimum 7 tahun. Peserta sebaik-baiknya perlu mampu mempersembahkan bacaan teks puisi (sajak) atau petikan cerpen di pentas – sedikit panduan di sini

Borang Penyertaan
Individu yang berminat perlu mengisi borang penyertaan rasmi secara dalam talian. Pastikan borang diisi dengan betul dan tepat sebelum dikirim. Setiap borang yang selamat diterima akan dijawab dalam masa 48 jam. Sekiranya tiada balasan, maknanya borang tidak diterima. 

Sijil Penyertaan
Sijil penyertaan hanya diberikan kepada individu yang mendaftar awal menerusi borang penyertaan rasmi, mengesahkan kehadiran di tempat aktiviti (Pusat Kebudayaan India, Brickfields) sebelum pukul 10:00 pagi pada 16 Oktober 2016, membaca puisi/cerpen dengan suara lantang di pentas, serta menyertai aktiviti sepenuhnya. Individu yang tiba selepas 10:00 pagi dan/atau menghilangkan diri sebelum 1:00 petang tidak layak menerima sijil penyertaan.

Tarikh Tutup
Pendaftaran peserta [BORANG DI SINI] ditutup secara muktamad pada 12 Oktober 2016, pukul 4:00 petang. Sebarang borang yang dikirim selepas itu tidak dilayan. Pendaftaran ditutup awal sekiranya sudah ada 50 peserta. Individu yang tidak mendaftar tidak dibenarkan membaca puisi/cerpen pada 16 Oktober 2016; tetapi boleh hadir sebagai penonton.

Penyelarasan
Aktiviti ini diselaras dan dilaksanakan oleh wakil Kavyan berdasarkan pengalaman mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya sejak 1999. 

Pengisian Aktiviti
Berikut adalah rangka atur cara bagi aktiviti yang dicadangkan. Pengisian dan pengendalian aktiviti ini menerusi pendekatan penghayatan bahasa dan sastera merangkumkan secara holistik visi, misi, objektif, rasional strategi dan sasaran BBK.

9:30 pagi – 10:00 pagi
Pendaftaran peserta (pengesahan untuk sijil)
10:00 pagi – 10:15 pagi
Taklimat kepada peserta
10:15 pagi – 12:30 tengah hari
Baca Puisi dan Cerpen Kavyan
Urutan peserta mengikut undian
Persembahan selingan oleh ICC
12:30 tengah hari – 1:00 petang
Ucapan wakil penganjur
Penyampaian sijil penyertaan BBK
Hadiah persembahan terbaik
Sesi fotografi berkumpulan
Makan tengah hari

Penutup dan Harapan
Temasya Bahasa: Baca Puisi dan Cerpen Kavyan diyakini mampu menjadi pemangkin dan peneraju kepada usaha memupuk kecintaan dan penghayatan Bahasa Kebangsaan, khususnya dalam kalangan komuniti pelbagai kaum dan pelbagai latar belakang, selaras objektif BBK. Para peserta ini akan terus menjadi kumpulan sasaran bagi pelbagai aktiviti bahasa dan sastera anjuran Kavyan. [Lihat juga – Penghayatan Bahasa dan Sastera di Aulong Lama]