Tuesday, 28 March 2017

Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia

Projek
Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia

Tarikh
16 April 2017 (Ahad)

Masa
9:00 pagi – 11:00 pagi

Penganjur
Pusat Kebudayaan India (NSCBICC)
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah)

Tempat
Dewan Netaji Subhash Chandra Bose, Pusat Kebudayaan India (NSCBICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields. (Rujuk peta)

WazeMenara Sentral Vista

Rasional
Program Bakat Seni dan Budaya Kaum India pernah dianjurkan pada 29 Mei 2016 [LIHAT DI SINI] dan 30 Jun 2016 [BACA DI SINI]. Peserta kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa ternyata terhibur apabila berpeluang mengambil bahagian. Program seumpama ini mampu menyumbang ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan Bangsa Malaysia. Selaras usaha murni ini, program Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia diatur untuk membuka peluang kepada para pencinta budaya dan seni pelbagai kaum, keturunan dan etnik di Malaysia membuat persembahan, atau hadir menghayati persembahan berkenaan.

Objektif
1. Memberi peluang kepada orang ramai menonjolkan bakat dalam bidang seni dan budaya masyarakat pelbagai kaum, keturunan dan etnik di Malaysia
2. Memupuk perpaduan antara kaum menerusi persembahan seni dan budaya
3. Meraikan kepelbagaian seni dan budaya yang menjadi keunikan Malaysia
4. Mengangkat Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi antara kaum

Bahasa Pengantar
Majlis akan dikendalikan oleh pengacara menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris dan Tamil mungkin diselit mengikut keperluan dan kesesuaian. Persembahan pula boleh menggunakan mana-mana bahasa.

Peserta
Penyertaan Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat mempersembahkan bakat seni dan budaya mana-mana kaum/keturunan/etnik di pentas. Penyertaan boleh didaftar secara individu (1 orang), berpasangan (2 orang), atau berkumpulan (3-4 orang). Orang yang sama tidak boleh terlibat dalam lebih daripada satu persembahan. Peserta wajib mendaftar sebelum 10 April 2017, pukul 5:00 petang. Para peserta yang sudah mendaftar juga wajib berada di tempat acara sebelum pukul 9:15 pagi [Waktu Kavyan] pada 16 April 2017.

Pengesahan Penyertaan
Sesiapa yang berminat mengambil bahagian diminta menghubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau mesej www.facebook.com/uthaya atau telefon 016-3288142 atau WhatsApp 017-8175310 untuk mendaftar nama sebelum 10 April 2017, pukul 5:00 petang.

Persembahan
Persembahan boleh menggunakan sebarang bahasa. Tempoh persembahan adalah 5-10 minit sahaja (minimum 5 minit, dan maksimum 10 minit). Persembahan yang dibenarkan adalah tarian, nyanyian, lakonan, taridra/dramatari, deklamasi sajak, bacaan teks, pidato, bermain alat muzik, seni pertahankan diri (seperti silambam) serta seni persembahan masyarakat Malaysia yang sesuai untuk ditonjolkan kepada khalayak pelbagai kaum, serta sesuai dipersembahkan di pentas. Persembahan boleh juga menggabungkan beberapa bentuk seni, sastera dan budaya. Tarian, lagu, lakonan, muzik dan sebagainya yang tidak mencerminkan keunikan seni, sastera atau budaya masyarakat Malaysia tidak dibenarkan. Kavyan selaku penyelaras berhak menghalang sebarang persembahan yang didapati tidak menepati syarat. [LIHAT FOTO ACARA]

Persiapan Pentas
Para peserta diingatkan supaya tidak membawa peralatan atau hiasan untuk disusun/diletak di pentas. Masa yang diambil untuk menyusun barangan (prop) termasuk dalam masa persembahan (5-10 minit). Jika menggunakan muzik latar atau minus one, sila serahkan kepada juruteknik sebelum 9:15 pagi.

Atur Cara
Rangka atur cara adalah seperti berikut:

9:00 pagi
Pengesahan pendaftaran peserta (untuk sijil)
Pendaftaran penonton (untuk cabutan bertuah)
Sarapan (tajaan Pusat Kebudayaan India)
Peserta membuat persiapan untuk persembahan

9:30 pagi [Waktu Kavyan]
Persembahan peserta
(5-10 minit sahaja bagi setiap persembahan)
Urutan persembahan berdasarkan undian

10:45 pagi [anggaran]
Ucapan pengarah ICC, Encik K. Ayyanar
Penyampaian cenderamata bagi persembahan terbaik
Sesi fotografi berkumpulan

Penutup dan Harapan
Acara Bakat Seni dan Budaya Masyarakat Malaysia mampu mencapai objektif yang disasarkan dengan adanya kerjasama semua pihak terbabit. Acara ini juga membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum menghayati keunikan seni dan budaya masyarakat Malaysia. [LIHAT FOTO ACARA]

Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berhubung program ini, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my. Layari www.kavyan.blogspot.my dari semasa ke semasa untuk maklumat perkembangan aktiviti Kavyan.