18 Jun 2016

Bakat Seni dan Budaya Kaum India di SK Sri Langat

Projek
Bakat Seni dan Budaya Kaum India

Tarikh
30 Jun 2016 (Khamis)

Masa
8:00 pagi – 12:00 tengah hari

Tempat
Dewan, SK Sri Langat, Banting

Penganjur
Panitia Bahasa Tamil
Panitia Pendidikan Moral
SK Sri Langat, Banting

Dengan Kerjasama
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia)

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 terlibat dalam mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak. Walaupun rata-rata program Kavyan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ITBM bertujuan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, Kavyan tidak menafikan kepentingan serta hak masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menggunakan bahasa-bahasa lain; khususnya bahasa ibunda. Sebagai salah satu usaha meraikan kepelbagaian, Kavyan turut mengendalikan serta menyokong aktiviti dalam Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Misalnya, Baca Karya Penulis Malaysia yang dianjurkan pada 20 Disember 2015 menampilkan penulis pelbagai kaum yang berkongsi bacaan karya pelbagai bahasa. Program Bakat Seni dan Budaya Kaum India turut dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Pusat Kebudayaan India, Brickfields pada 29 Mei 2016. Kavyan juga sentiasa berusaha membuka ruang dan peluang kepada khalayak pelbagai kaum mengetengahkan keunikan seni dan budaya masing-masing. DHRRA Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberikan kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memperkasa komuniti India di peringkat akar umbi. ITBM pula sebuah agensi kerajaan yang melakukan penerbitan dan terjemahan karya pelbagai bahasa untuk khalayak tempatan dan antarabangsa.

Rasional
Perkembangan dan pemupukan bahasa, seni dan budaya kaum India sering dikaitkan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetapi pada realiti, ketiga-tiga aspek berkenaan turut digalakkan serta dipupuk di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Menerusi program La di stesen radio MinnalFM (8 Jun 2016), diakui bahawa ramai individu kaum India yang bukan lepasan SJKT tetap menguasai Bahasa Tamil, serta mampu cemerlang dalam bidang yang melibatkan bahasa dan budaya Tamil/India. Murid-murid kaum India di SK Sri Langat merupakan contoh terdekat. Pada masa sama, apabila peluang menonjolkan bakat bahasa, seni dan budaya India dilakukan di SK dan SMK, khalayak pelbagai kaum berpeluang mengenali, menghayati dan menikmati keunikan budaya yang disajikan dalam konteks masyarakat majmuk. Secara langsung, usaha ini menyumbang ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah.

Objektif
1. Memberi peluang kepada pelajar SK menonjolkan bakat dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya kaum India.
2. Memupuk perpaduan antara kaum menerusi persembahan kebudayaan.
3. Meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi keunikan Malaysia.
4. Mengangkat Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi antara kaum.

Maklumat Sekolah
SK Sri Langat terletak di Banting, Selangor dan merupakan sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Murid-murid di sekolah ini diberi peluang mengikuti kelas Bahasa Tamil sebagai subjek bahasa ibunda. Panita Bahasa Tamil dan Panitia Pendidikan Moral di sekolah ini amat aktif dan cemerlang. Misalnya, pada 9 April 2016, Karnival Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor dianjurkan di sekolah ini.

Peserta
Peserta Bakat Seni dan Budaya Kaum India terdiri daripada sekitar 60 murid pelbagai kaum di Tahun 3, 4, 5 dan 6 di SK Sri Langat. Pemilihan peserta diuruskan oleh Panitia Bahasa Tamil dan Panitia Pendidikan Moral. Peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan untuk membuat persiapan dan latihan persembahan seperti deklamasi sajak, nyanyian, lakonan dan pidato; serta seni persembahan kaum India yang sesuai untuk ditonjolkan kepada khalayak pelbagai kaum.

Bahasa
Program akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia, manakala persembahan bakat seni dan budaya kaum India oleh murid-murid boleh dilakukan dalam mana-mana bahasa mengikut kesesuaian.

Atur Cara
Rangka atur cara adalah seperti berikut:

8:00 pagi
Ketibaan peserta (murid-murid)
Ketibaan penonton (guru dan ibu bapa)
Ketibaan tetamu (atas undangan sahaja)

9:00 pagi
Ucapan Ketua Panitia Bahasa Tamil/Pendidikan Moral
Ucapan Guru Besar SK Sri Langat

9:30 pagi
Persembahan peserta/murid
Persembahan selingan

11:00 pagi
Ucapan Presiden DHRRA Malaysia
Ucapan Pengarah Urusan ITBM
Penyampaian cenderamata dan sijil penyertaan
Penyampaian cenderamata kepada tetamu khas
Sesi fotografi

Penutup dan Harapan
Projek Bakat Seni dan Budaya Kaum India mampu mencapai objektif yang disasarkan dengan adanya kerjasama semua pihak terbabit. Projek ini juga menjadi bukti nyata bahawa SK membuka ruang dan peluang kepada murid kaum India menjalankan aktiviti berkaitan bahasa, sastera, seni dan budaya dalam konteks khalayak pelbagai kaum. ITBM, DHRRA Malaysia dan Kavyan turut menyokong usaha memelihara seni dan budaya pelbagai kaum.

Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berhubung projek ini, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my. Layari www.kavyan.blogspot.my untuk maklumat aktiviti Kavyan.