Friday, 12 May 2017

Sirna Dalam Samsara


Bersendiri dalam padmasana,
berontak hadir memukul sukma;
menerjah rakus gua-gua nestapa,
menggali khazanah ketenangan jiwa.
Dan ketenangan itu;
mengheret kalbu ke dalam akasha,
melewati kota silam berakyatkan dosa,
hingga terhempas ombak-ombak sesal,
membasahi seluruh pantai sanubari.
Lalu muncul mentari,
berbalam dalam kabus sepi,
mencetus api ketenangan abadi,
marak membakar hasad dan dengki,
menjadi hububan elegi hiba;
selamanya sirna dalam samsara.

Muhammad Fareed bin Isa
Taman Muzaffar Syah, Ayer Keroh

[Sajak ini memenangi Hadiah Saguhati dalam Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada April 2017. Kemenangan ini perlu dinyatakan apabila sajak ini disiarkan semula di mana-mana. Disunting oleh Uthaya Sankar SB. Hak Cipta karya dipegang oleh penulis, manakala Hak Penerbitan (untuk menyiarkan sajak ini di blog) dimiliki oleh Kavyan.]