12 May 2017

Cerita Muruga


Muruga yang saya kenal
Baru minggu lepas dengar dia cerita
susah nak dapat kerja
Jual cendol jual rojak
jual puttu mayam semua dia dah cuba
Kena halau kena kacau pihak berkuasa
Temuduga pengawal keselamatan ditolak pula
Bukan tidak sudi bertugas 15 jam sehari malah terima gaji rendah
namun syarikat sekuriti hanya nak ambil orang Nepal muda
Dulu tewaskan geng-geng Surapadman, Tarakasura apa guna
Zaman ini tidak menghargai gagah perkasa dalam jiwa
Muka realiti lebih hodoh daripada muka raksasa
Hati orang busuk kalahkan asura
tapi mulut asyik kata kesucian minda
Rasa benci sampai nak campakkan vel
Pecahkan hipokrit-hipokrit dunia!

Sabar, sabar, sabar
Setiap kali rasa marah dia ingatkan diri ajaran Dharma
Segala akibat mesti ada sebabnya
Tiada apa yang boleh lepas daripada Karma
Usah mabuk dengan fenomena
lebih bererti memahami punca
Tiba-tiba dia nampak tenang dan mulia  
Kerunsingan bumi memang biasa
dan penderitaan hidup memang dijangka
Segala cabaran dapat diatasi
asalkan tidak hilang Jnana

Lee Chen Kang
Taman Bukit Indah, Johor Bahru

[Sajak ini memenangi Hadiah Utama dalam Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada April 2017. Kemenangan ini perlu dinyatakan apabila sajak ini disiarkan semula di mana-mana. Disunting oleh Uthaya Sankar SB. Hak Cipta karya dipegang oleh penulis, manakala Hak Penerbitan (untuk menyiarkan sajak ini di blog) dimiliki oleh Kavyan.]