Friday, 12 May 2017

Maka Kau Kubentuk


Manakan daya kekerdilan mindaku mengetahui seadanya Engkau,
maka Kau kubentuk.
Engkau yang melihat segalanya kulihat seolah bermata,
maka Kau  kubentuk.
Tiada bisikan yang tersembunyi dari-Mu. Bertelingakah Engkau sepertiku?
maka Kau kubentuk.
Dikatakan Engkau Maha Penyayang,
maka sifat-Mu kubentuk.
Manakan mungkin aku mendampingi-Mu yang tiada berbentuk, tiada bersempadan?
maka Kau kubentuk.
Tiada permulaan tiada penghujung, silam dan hadapan. Detik masa tiada terpakai untuk-Mu.
Dayaku hanyalah untuk memenjarakan-Mu dalam renunganku di alam masa,
maka Kau kubentuk.
Bahasa dan imaginasiku gagal. Engkau bukanlah Yang Maha Besar mahupun kecil, Maha Kuasa bukanlah definisi-Mu. Engkau melangkaui segalanya.
maka Kau kubentuk.

T. Viveganandan
Cyberia, Cyberjaya

[Sajak ini memenangi Hadiah Utama dalam Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada April 2017. Kemenangan ini perlu dinyatakan apabila sajak ini disiarkan semula di mana-mana. Disunting oleh Uthaya Sankar SB. Hak Cipta karya dipegang oleh penulis, manakala Hak Penerbitan (untuk menyiarkan sajak ini di blog) dimiliki oleh Kavyan.] - Catatan: Penulis ini meninggal dunia pada 14 Jun 2017.