12 May 2017

Karma Bima Sakti


Pernahkah kau rasainya?
Tenang malam dalam khayal diselimut langit malam,
Terbaring kumendongak membelai sang bima sakti,
Yang membuka segenap gerbang ke galaksi fikirku,
Seri bintang bergemerlapan dalam berjuta,
Megah purnama menghampar seri sayap persona,
Hulur tanganku tak kesampaian menyambut keagungannya,
Rasukannya merentapku terawang-awangan,
Apa kebenaran samsara yang memujaku mempercayai karma?
Kutemui hanya lemas dalam dakapan seluas isi angkasaraya,
Biar diriku karam dalam veda sekelam lohong hitam,
Kerna di ceruk sana aku abadi hakiki,
Bebas kembali mempercayai pari-pari dan dewa-dewi,
Pernahkah kau percayainya?

Muhammad Ruzaiman bin Ahmad
Bukit Sekilau, Kuantan

[Sajak ini memenangi Hadiah Saguhati dalam Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada April 2017. Kemenangan ini perlu dinyatakan apabila sajak ini disiarkan semula di mana-mana. Disunting oleh Uthaya Sankar SB. Hak Cipta karya dipegang oleh penulis, manakala Hak Penerbitan (untuk menyiarkan sajak ini di blog) dimiliki oleh Kavyan.]