Saturday, 11 March 2017

Kelas Malam di Aulong Lama

Sumbangan ikhlas diperlukan untuk membantu pelajaran kanak-kanak dan remaja yang mengikuti Kelas Malam.

Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping dimulakan pada Jun 2016 dengan sokongan dan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam). Pelbagai aktiviti dianjurkan secara bulanan dalam usaha memperkasakan komuniti akar umbi di Aulong Lama, Aulong, Tekkah dan sekitarnya.

Mulai Januari 2017, Kelas Malam dikendalikan pada setiap hari Isnin, 7:00 – 9:00 malam, untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja (murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah) belajar bersama-sama dengan memanfaatkan ruang belajar di Dewan Sangam.

Murid-murid dan pelajar diberikan alat tulis, buku tulis, buku kerja dan sebagainya untuk membolehkan mereka membuat kerja sekolah, selain mengulang kaji pelajaran.

Kanak-kanak dan remaja yang menyertai Kelas Malam diberikan biskut dan minuman sewaktu mengikuti kelas selama dua jam.

Rata-rata kanak-kanak dan remaja ini berasal daripada keluarga kurang berada; dan tidak ada suasana kondusif di rumah untuk belajar dengan selesa.

Mereka juga tidak mampu mengikuti kelas tuisyen atau kelas tambahan yang dikendalikan pelbagai pihak berikutan masalah kewangan keluarga.

Projek Komuniti Kavyan menerusi Kelas Malam menyediakan ruang untuk kanak-kanak dan remaja ini belajar secara berkumpulan – menerusi konsep saling membantu dalam pelajaran dan kerjas sekolah.


Buat masa ini, terdapat sekitar 30 peserta. Mereka dibimbing beberapa sukaralewan yang merupakan pemimpin komuniti yang turut terlibat dalam Projek Komuniti Kavyan sejak Jun 2016.

Hasil penelitian mendapati ramai murid dan pelajar ini memerlukan bimbingan secara lebih intensif, kerana ada juga murid berumur 12 tahun yang masih tidak tahu membaca!

Projek Komuniti Kavyan bergerak menerusi sumbangan orang ramai kepada Tabung Projek Komuniti Kavyan. Kami memberi jaminan bahawa sumbangan orang ramai – dalam bentuk wang atau barangan – akan diuruskan secara beretika dan berintegriti.

Bagi meningkatkan keupayaan Kelas Malam, serta memberikan kesan lebih positif terhadap pelajaran kanak-kanak dan remaja yang menyertainya, kami bercadang menambah jumlah hari kelas daripada satu hari kepada dua hari.

Pemimpin komuniti bersedia untuk meluangkan masa dan tenaga bagi mengendalikan kelas berkenaan. Mereka yang bertindak sebagai penyelaras dan pembimbing (guru) diberikan sedikit elaun secara bulanan.

Sumbangan orang ramai diperlukan untuk membolehkan Kelas Malam diteruskan secara lebih aktif ke arah memperkasakan kanak-kanak dan remaja terbabit dalam pelajaran.

Sasaran kami adalah untuk memastikan murid-murid dan pelajar ini lebih cemerlang dalam peperiksaan pada hujung tahun 2017. Pencapaian dan perkembangan pelajaran mereka akan dipantau secara berterusan oleh wakil kami; termasuk dengan menghubungi sekolah/guru kelas.

Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke Tabung Projek Komuniti Kavyan menerusi akaun bank CIMB – 8600 5655 47 – Kavyan. Surat akuan penerima akan diberikan bagi setiap sumbangan.

Sudilah menghubungi Uthaya Sankar SB menerusi talian 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut atau jika ada sebarang pertanyaan.

Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama dijalankan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama (Sangam) dan Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah) sebagai salah satu usaha memperkasakan komuniti akar umbi.