Monday, 28 September 2015

Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia

Perhatian kepada para penulis kaum India! மலேசிய இந்திய எழுத்தாளர்களின் கவனத்திற்கு! Calling Malaysian writers of Indian descendant!

Aktiviti
Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia

Tema
Raikan Kepelbagaian, Pupuk Perpaduan

Penganjur Bersama

Tarikh
1 November 2015 (Ahad)

Masa
9:00 pagi – 12:00 tengah hari

Tempat
ICC, Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB.

Pengenalan
Penulis kaum India di Malaysia terlibat dalam bidang penulisan kreatif (fiksyen) dan bukan kreatif (non-fiksyen) sejak lebih lapan puluh tahun dahulu. Mereka menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Penulis fiskyen menghasilkan puisi, cerpen, novel dan skrip drama, manakala penulis non-fiksyen terlibat dalam bidang kewartawanan dan penulisan esei. Sejak Kavyan diasaskan pada 1999, ia mengendalikan pelbagai aktiviti berasaskan Bahasa Malaysia di seluruh negara. Para penulis kaum India yang menulis dalam bahasa yang berlainan – Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris – jarang berpeluang untuk bertemu, beramah-mesra dan menganjurkan aktiviti bersama. Sebagai salah satu usahasama Kavyan-ICC, pertemuan khas diatur untuk mengumpulkan para penulis kaum India yang menulis dalam pelbagai bahasa.

Objektif
1 Mengumpulkan penulis kaum India yang menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif
2 Mengumpulkan penulis kaum India yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris
3 Memupuk perpaduan dan mengeratkan silatulrahim dalam kalangan penulis kaum India di Malaysia
4 Merancang sesi Baca Karya Penulis Malaysia (Disember 2015)
5 Memperkenalkan ICC dan aktivitinya kepada penulis kaum India

Peserta
Sekitar 20-30 penulis kaum India Malaysia yang menghasilkan karya kreatif (fiksyen) dan bukan kreatif (non-fiksyen) dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris dijangka terlibat dalam pertemuan ini. Golongan bukan penulis juga digalakkan hadir; dengan syarat individu terbabit merupakan kaum India dan warganegara Malaysia, serta mengisi borang penyertaan.

Pendaftaran
Para penulis kaum India yang berminat menyertai pertemuan ini wajib mengisi BORANG PENDAFTARAN sebelum 25 Oktober 2015. Tiada bayaran dikenakan. Individu yang tidak mengisi borang tidak dibenarkan menyertai pertemuan ini.

Definisi
Istilah “penulis kaum India” yang digunakan dalam konteks program ini merujuk khusus kepada warganegara Malaysia; tidak termasuk pemastautin tetap. Definisi “kaum India” dalam konteks ini merujuk kepada warganegara Malaysia yang nenek-moyangnya berasal dari negara India; termasuk Pakistan dan Bangladesh sebelum perpisahan berlaku. Individu keturunan Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi dan sebagainya yang termasuk dalam kategori “kaum India” terangkum dalam definisi ini. Individu Cindian (Cina dan India) dan India-Muslim (mamak) diterima sekiranya sijil kelahiran atau dokumen pengenalan diri mengesahkannya sebagai “kaum India”. Aspek agama, kepercayaan, ideologi politik, bahasa ibunda dan sebagainya tidak diambil kira semasa mendefinisikan individu “kaum India” dalam konteks ini.

Bahasa
Selaras usaha memartabatkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, acara akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, peserta dibenarkan menggunakan Bahasa Inggeris dan Tamil mengikut keselesaan. Pembacaan teks (karya) dibenarkan dalam mana-mana bahasa. Penterjemahan akan dilakukan mengikut keperluan.

Atur Cara
Berikut adalah rangka atur cara bagi melicinkan perjalanan acara. Para penulis (peserta) diminta mematuhi Waktu Kavyan, iaitu masa sebagaimana dinyatakan.

9:00 pagi
Ketibaan para penulis dan wakil ICC
Sesi jualan buku dan menandatangani buku

9:30 pagi
Ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis (Nizha Periaswamy)
Ucapan khas oleh Pesuruhjaya Tinggi India (Bahasa Inggeris/Tamil)

10:00 pagi
Para penulis (peserta) memperkenalkan diri
Para penulis membaca petikan karya masing-masing
[Penyelaras: Uthaya Sankar SB]

11:30 pagi
Merancang sesi Baca Karya Penulis Malaysia (Malaysian Writers’ Reading) melibatkan para penulis pelbagai kaum dan karya pelbagai bahasa pada Disember 2015
[Penyelaras: Uthaya Sankar SB]

12:00 tengah hari
Persembahan tariakh kathak dan muzik karnatik (ICC)
Makan tengah hari
Sesi jualan buku dan menandatangani buku
Bersurai

Penutup
Pertemuan ini akan menghimpunkan – mungkin buat pertama kali – para penulis kaum India yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Pertemuan ini juga merupakan titik awal ke arah penganjuran Baca Karya Penulis Malaysia iaitu suatu pertemuan besar-besaran pada 20 Disember 2015 melibatkan penulis pelbagai kaum yang menulis dalam pelbagai bahasa.

[Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan on 25 September 2015]