Friday, 1 March 2013

Baca Cerpen Siru Kambam



Nama Aktiviti

Baca Cerpen Siru Kambam

 

Sempena

Pelancaran Kumpulan Cerpen Kisah dari Siru Kambam

 

Penganjur Bersama

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

 

Tarikh

10 Mac 2013 (Ahad)

 

Masa

9:30 pagi – 12:30 tengah hari [Waktu Kavyan]

 

Tempat

Bilik Aktiviti (Zon Kreatif), Tingkat Bawah, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

 

Latar Belakang

Program Baca Cerpen Kavyan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor dan Kavyan pada 29 Ogos-2 September 2003 berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta selama 96 jam 32 minit. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan tradisi membaca cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kavyan sering bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan acara membaca cerpen di pentas. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Maka tradisi ini wajar diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan sendiri.

 

Objektif

1 Membuka peluang kepada peminat sastera membaca naskhah cerpen karya Sasterawan Kavyan (penulis kaum India).

2 Memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen.

3 Meneruskan tradisi baca cerpen yang dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera.

4 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

5 Pengisian program kerjasama antara PPAS dan Kavyan yang dimulakan sejak 2003.

 

Jumlah Cerpen

Sebanyak 10 daripada 20 cerpen Bahasa Malaysia karya Uthaya Sankar SB yang termuat dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013) dijadikan teks bacaan. Setiap peserta hanya membaca petikan beberapa halaman; sebagaimana ditetapkan oleh pihak penganjur. Teks cerpen akan dipilih dan ditetapkan oleh pihak Kavyan, dan dimaklumkan lebih awal kepada para peserta supaya boleh berlatih dan membuat persediaan.

 

Penyelarasan

Program pembacaan cerpen akan diselaraskan dan dikendalikan oleh wakil Kavyan secara terancang, sistematik dan profesional berdasarkan pengalaman menyelaras dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan (29 Ogos – 2 September 2003); serta siri baca cerpen/novel sebelum ini.

 

Jumlah Peserta/Pembaca (*)

Sepuluh (10) individu pelbagai kaum, berumur minimum 14 tahun, yang menawarkan diri secara sukarela. [SENARAI NAMA PESERTA DIPAPARKAN DI SINI] Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu membaca naskhah cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya persembahan yang  mantap dan sesuai untuk persembahan di khalayak. [PANDUAN MEMBACA CERPEN]

 

Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)

Bagi tujuan Baca Cerpen Siru Kambam, orang ramai yang berminat perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 10 orang. Pendaftaran peserta diuruskan hanya oleh pihak Kavyan. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah ”yang dahulu didahulukan”. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya untuk pendaftaran peserta.

 

Cenderamata Peserta (*)

Kesemua 10 peserta akan menerima cenderamata berupa bahan bacaan sumbangan Kavyan; buku karya Datuk A. Samad Said iaitu Penasihat Agung Kavyan. Cenderamata ini secara tidak langsung membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca.

 

(*) Syarat Peserta/Pembaca

”Peserta” dan ”pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal untuk mendapatkan teks cerpen; mendaftar di PPAS sebelum pukul 10:00 pagi pada tarikh acara; membaca teks cerpen di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara sepenuhnya dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal.

 

Penonton

Orang ramai – khususnya peminat sastera, wakil media, siswa-siswi, pelajar, guru, penulis, pustakawan dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Siru Kambam sebagai penonton. Penonton berumur minimum 14 tahun perlu mendaftar di PPAS sebelum pukul 10:00 pagi pada tarikh acara untuk membolehkan mereka layak terlibat dalam cabutan bertuah. Individu yang datang lewat boleh menjadi penonton tetapi tidak layak mendaftar bagi cabutan bertuah.

 

Wakil Media

Wartawan dan wakil media (termasuk blogger dan pengamal media alternatif) yang berminat membuat liputan acara ini dinasihatkan supaya mendaftar sebelum pukul 10:00 pagi pada tarikh acara. Wakil media juga perlu mendaftar untuk layak terlibat dalam cabutan bertuah. Wakil media yang menghadiri acara ini sepenuhnya akan diberi cenderamata berupa bahan bacaan pada akhir majlis (semasa sidang media). Wakil media yang tiba lewat atau menghilangkan diri dianggap tidak hadir.

 

Cabutan Bertuah

Cabutan bertuah akan diadakan bagi para penonton berdaftar (termasuk wakil media) sebagai selingan acara baca cerpen. Hadiah berupa bahan bacaan disediakan oleh Kavyan bagi pemenang cabutan bertuah ini. Hadiah hanya akan diberikan sekiranya individu terbabit (pemenang) berada di tempat acara semasa namanya dipanggil. Penonton yang menghilangkan diri (atas apa alasan sekali pun) tidak layak menerima hadiah. Keputusan pihak penganjur adalah muktamad dan sebarang bantahan/rayuan tidak akan dilayan.

 

Rangka Atur Cara

 

9:30 pagi

·         Meja jualan buku, pendaftaran peserta, penonton dan wakil media dibuka

·         Ketibaan tetamu, wartawan, peserta dan penonton

·         Nota: Sarapan TIDAK disediakan

 

10:00 pagi [Waktu Kavyan]

·         Ucapan pengacara majlis

·         Bacaan doa (mengikut agama masing-masing)

·         Ucapan tetamu/wakil Kavyan 

 

10:30 pagi

·         Baca Cerpen Siru Kambam bermula

·         Selingan – cabutan bertuah

 

12:00 tengah hari [Anggaran]

·         Penyampaian cenderamata kepada peserta

·         Sesi fotografi berkumpulan (peserta/penonton)

·         Sidang media (jika perlu)

·         Penyampaian cenderamata kepada wakil media

·         Nota: Makan tengah hari TIDAK disediakan

 

Penutup

Acara Baca Cerpen Siru Kambam sempena pelancaran kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013) mampu dilaksanakan secara sederhana tetapi melibatkan penyertaan khalayak pelbagai kaum berkat kerjasama padu daripada PPAS, Kavyan dan para sukarelawan. Acara ini juga sebagai usaha ”memasyarakatkan” PPAS dengan membawa orang ramai ke PPAS.

 
Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 27 Februari 2013

No comments: