Thursday, 14 March 2013

Baca Cerpen Siru Kambam II

Nama Aktiviti
Baca Cerpen Siru Kambam II
 
Penganjur Bersama
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Kedai Buku dan Muzik Merdekarya (Merdekarya)
 
Tarikh
23 Mac 2013 (Sabtu)
 
Masa
Bermula 9:00 malam [Waktu Kavyan]
 
Tempat
Merdekarya, 352, Tingkat 1, Jalan 5/57, Taman Petaling, Seksyen 5, Petaling Jaya [JANGAN gunakan GPS kerana anda dijamin akan sesat! Sila RUJUK PANDUAN MUDAH DI SINI]. Harap maklum bahawa Merdekarya dilengkapi bar yang turut menjual minuman beralkohol. Makanan/minuman luar tidak dibenarkan.
 
Latar Belakang
Acara Baca Cerpen Siru Kambam di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam diadakan dalam skala kecil pada 10 Mac 2013 sempena pelancaran kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013). Program Baca Cerpen Kavyan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor dan Kavyan pada 29 Ogos-2 September 2003 pula berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records berikutan pembacaan 384 cerpen secara berterusan oleh 166 peserta selama 96 jam 32 minit. Baca Cerpen Kavyan menjadi asas bagi memulakan tradisi membaca cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak. Kavyan sering bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan acara membaca cerpen di pentas. Masyarakat juga semakin berminat untuk mendengar serta mengambil bahagian dalam acara seumpama ini. Maka tradisi ini wajar diteruskan dan diperhebatkan; khususnya dengan mengangkat karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan sendiri.
 
Objektif
1 Membuka peluang kepada peminat sastera membaca naskhah cerpen karya Sasterawan Kavyan (penulis kaum India).
2 Memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen.
3 Meneruskan tradisi baca cerpen yang dimulakan melalui program Baca Cerpen Kavyan; memasyarakatkan sastera.
4 Memartabatkan Bahasa Malaysia serta memupuk semangat cinta akan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
5 Pengisian program kerjasama antara Merdekarya dan Kavyan.
 
Jumlah Cerpen
Sebanyak 10 daripada 20 cerpen Bahasa Malaysia karya Uthaya Sankar SB yang termuat dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013) dijadikan teks bacaan. Setiap peserta hanya mempersembahkan (ulang: mempersembahkan) petikan beberapa halaman. Teks cerpen perlu dipilih dan dimaklumkan lebih awal kepada penganjur. Peserta juga perlu berlatih dan membuat persediaan sebelum membuat persembahan. Persembahan secara berkumpulan juga dibenarkan.
 
Penyelarasan
Program pembacaan cerpen diselaraskan dan dikendalikan oleh wakil Kavyan secara terancang, sistematik dan profesional berdasarkan pengalaman menyelaras dan mengendalikan Baca Cerpen Kavyan (29 Ogos – 2 September 2003); serta siri baca cerpen/novel sebelum ini.
 
Jumlah Peserta/Pembaca (*)
Sepuluh (10) individu pelbagai kaum yang menawarkan diri secara sukarela. [SENARAI NAMA PESERTA DIPAPARKAN DI SINI] Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mampu membaca naskhah cerpen Bahasa Malaysia dengan gaya persembahan yang  mantap dan sesuai untuk persembahan di khalayak. Ingat: Bukan sekadar membaca petikan cerpen secara biasa dan membosankan, tetapi membuat persembahan yang mampu memukau penonton/pendengar. Persembahan secara berkumpulan juga dibenarkan. Penggunaan alat muzik dan sebagainya juga digelakkan. [SEDIKIT PANDUAN MEMBACA CERPEN DI PENTAS]
 
Pendaftaran dan Pemilihan Peserta (*)
Bagi tujuan Baca Cerpen Siru Kambam II, orang ramai yang berminat perlu mendaftar lebih awal kerana jumlah peserta adalah terhad kepada 10 orang. Pendaftaran peserta diuruskan hanya oleh pihak Kavyan. Pendaftaran dilakukan melalui kaedah ”yang dahulu didahulukan”. Hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya untuk pendaftaran peserta.
 
Cenderamata Peserta (*)
Kesemua 10 peserta akan menerima cenderamata berupa bahan bacaan sumbangan Kavyan; buku karya Datuk A. Samad Said iaitu Penasihat Agung Kavyan. Cenderamata ini secara tidak langsung membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat; serta mempromosi kempen galakan membaca.
 
(*) Syarat Peserta/Pembaca
”Peserta” dan ”pembaca” merujuk kepada individu yang mendaftar awal untuk mendapatkan teks cerpen; mendaftar di Merdekarya sebelum pukul 9:00 malam pada tarikh acara; membaca teks cerpen (mempersembahkan teks) di pentas mengikut giliran yang ditetapkan; menyertai acara sepenuhnya dari mula hingga akhir; dan tidak meninggalkan acara lebih awal.
 
Penonton
Orang ramai – khususnya peminat sastera, wakil media, siswa-siswi, pelajar, guru, penulis, penganggur dan ahli Kavyan – dipelawa menghadiri acara Baca Cerpen Siru Kambam II sebagai penonton. Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak (bawah 7 tahun) dan bayi ke acara ini. Jika bayi atau kanak-kanak mengganggu majlis, maka akan diarah keluar.
 
Wakil Media
Wartawan dan wakil media (termasuk blogger dan pengamal media alternatif) yang berminat membuat liputan acara ini amat dialu-alukan.
 
Rangka Atur Cara
 
8:45 malam
·         Meja jualan buku dan pendaftaran peserta
·         Nota: Makan-minum TIDAK disediakan tetapi hadirin boleh membeli makanan/minuman di Merdekarya. Makanan/minuman dari luar tidak dibenarkan.
 
9:15 malam [Waktu Kavyan]
·         Ucapan Brian Gomez, pemilik Merdekarya
·         Baca Cerpen Siru Kambam II bermula
 
10:30 malam [Anggaran]
·         Penyampaian cenderamata kepada peserta
·         Sesi fotografi berkumpulan (peserta/penonton)
·         Nota: Makan-minum TIDAK disediakan tetapi hadirin boleh membeli makanan/minuman di Merdekarya. Makanan/minuman dari luar tidak dibenarkan.
 
Penutup
Acara Baca Cerpen Siru Kambam II dipercayai mampu dilaksanakan secara sederhana tetapi melibatkan penyertaan khalayak pelbagai kaum berkat kerjasama padu daripada Merdekarya, Kavyan dan para sukarelawan. Acara ini juga sebagai usaha ”memasyarakatkan” Merdekarya dengan membawa orang ramai ke kedai buku, muzik dan aktiviti urban ini.
 
 
Disediakan oleh Jawatankuasa Kavyan pada 14 Mac 2013