4 Oct 2012

Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan 04/2012


Tarikh              : 30 September 2012 (Ahad)
Masa              : Bermula tepat 10:15 pagi (Waktu Kavyan)
Tempat          : Kemuning Utama, Shah Alam
 
 
1. Ucapan Pengerusi Mesyuarat
 
1.1 Uthaya Sankar SB selaku Presiden memulakan mesyuarat dan menerangkan tujuan mesyuarat kali ini. Beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk dibincangkan dalam “Hal-hal Lain” selain menegaskan mengenai syarat kehadiran yang diputuskan pada Mesyuarat AJK 02/2012 dan Etika Mesyuarat Kavyan.
 
2. Pembentangan Minit Mesyuarat Lalu
 
2.1 Penolong Setiausaha, Kughan Nadarajah membentangkan Minit Mesyuarat AJK 03/2012 (29 Julai 2012) untuk pengesahan. Minit disahkan oleh Uthaya Sankar SB dan disokong oleh Magaenthiran Periaswamy.
 
3. Laporan Aktiviti & Isu Penting (1 Ogos – 30 September 2012)
 
3.1 Jawatankuasa terbabit membentangkan laporan aktiviti yang dikendalikan atau disertainya.
 
3.2 Bengkel Penulisan Cerpen di SJKT Sungai Renggam yang sepatutnya diadakan pada 28 April 2012 ditangguhkan ke tarikh lain atas permintaan pihak sekolah. Thiru Selvam (yang masih dalam cuti sakit kerana kecederaan kaki) akan memaklumkan perkembangan selepas menghubungi pihak sekolah pada 1 Oktober 2012.
 
3.3 Magaenthiran Periaswamy memaklumkan perkembangan Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di Teluk Intan. Katanya, pertukaran/perpindahan guru ke sekolah lain menyebabkan urusan sedikit tergendala tetapi program akan tetap diadakan pada masa depan.
 
3.4 Uthaya Sankar SB memaklumkan bahawa kenyataan media oleh Kavyan pada 28 September 2012 mengenai penyelarasan mata pelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina disiarkan di Sinar Harian Online, Free Malaysia Today dan Malaysiakini.
 
3.5 Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Aswara pada 6-7 September 2012. Uthaya Sankar SB hadir sebagai wakil Kavyan pada 7 September 2012 untuk mendengar pembentangan.
 
3.6 Pertemuan Uthaya Sankar SB dengan Datuk Ambiga pada 13 September 2012. Beliau antara lain melahirkan kekaguman terhadap usaha Kavyan mendaulatkan Bahasa Malaysia secara berterusan melalui pelbagai aktiviti.
 
3.7 Art for Grabs di Annexe Gallery, Pasar Seni pada 22-23 September 2012. Uthaya Sankar SB menjual buku-buku serta mempromosi Kavyan di gerai.
 
3.8 Pertemuan dengan Penasihat Agung Kavyan, Datuk A. Samad  Said di Bangsar Utama pada 24 September 2012 untuk membincangkan perkembangan Kavyan dan isu-isu semasa. Beberapa rakan turut hadir untuk bertemu beliau.
 
4. Aktiviti Akan Datang (Oktober – Disember 2012)
 
4.1 Mesyuarat membincangkan mengenai beberapa aktiviti yang sudah dirancang; khususnya pada Oktober hingga Disember 2012.
 
4.2 Pembahagian tugas turut dilakukan bagi melancarkan perjalanan aktiviti yang dirancang.
 
4.3 Program Buku Jalanan di Taman Tasik Shah Alam pada 6 Oktober 2012, 5:00 petang. Uthaya Sankar SB diundang untuk bercakap mengenai isu pengharaman buku serta soal hak cipta dan hak royalti karya.
 
4.4 Baca Cerpen Kavyan akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Uthaya Sankar SB akan memaklumkan perkembangan selepas mendapat pengesahan tarikh daripada pihak perpustakaan.
 
4.5 Diskusi Karya Sasterawan Kavyan yang dirancang bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mungkin akan diganti dengan aktiviti lain. Uthaya Sankar SB akan memaklumkan perkembangan selepas pertemuan dengan pihak berkenaan pada 4 Oktober 2012.
 
4.6 Ramakrishnan Ramasamy masih berusaha mengenal pasti rumah anak-anak yatim untuk mengadakan program di sana. Beliau akan memaklumkan perkembangan dalam mesyuarat akan datang.
 
4.7 Kughan Nadarajah mencadangkan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf pada November 2012. Penyertaan terbuka kepada orang ramai yang berminat untuk turut serta. Maklumat lanjut dan perkembangan akan dipaparkan di blog Kavyan selepas perbincangan dengan pihak Kumpulan Media Karangkraf.
 
 
5. Karya di Akhbar/Majalah
 
5.1 Sajak “Kurnia” tulisan Ramakrishnan Ramasamy disiarkan dalam majalah Tunas Cipta, Julai 2012.
 
5.2 Makalah “Kehebatan Varma Kalai” tulisan Kughan Nadarajah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya, September 2012.
 
5.3 Dua makalah tulisan Nizha Periaswamy sudah dikirim kepada editor majalah Dewan Budaya untuk penilaian.
 
5.4 Sajak tulisan Salma Dhineswary sudah dikirim kepada editor majalah Tunas Cipta untuk penilaian.
 
5.5 Uthaya Sankar SB ditawarkan menjadi kolumnis di Projek Dialog mulai 18 September 2012 untuk menulis isu-isu budaya dan minoriti. Makalah kedua mengenai isu “penyebaran agama Hindu” disiarkan pada 28 September 2012.
 
5.6 Ramakrishnan Ramasamy dan Kughan Nadarajah sedang dalam proses menulis beberapa bahan (puisi/makalah) untuk disalurkan ke majalah yang sesuai.
 
6. Hal-hal Lain
 
6.1 Uthaya Sankar SB mencadangkan supaya elaun diberi kepada AJK yang menghadiri mesyuarat. Magaenthiran Periaswamy berpendapat bahawa wang dalam tabung Kavyan wajar digunakan untuk menampung kos (tol, petrol, penginapan) apabila wakil Kavyan pergi ke tempat-tempat yang jauh untuk mengendalikan acara. Ramakrishnan Ramasamy mencadangkan supaya wang dalam tabung Kavyan dibahagi dua, bagi menampung kedua-dua cadangan di atas. Magaenthiran Periaswamy turut mencadangkan supaya elaun diberi kepada AJK Kavyan yang karyanya disiarkan di akhbar/majalah. Selepas dibincang dan dibahaskan, mesyuarat akhirnya bersetuju supaya elaun diberi kepada AJK Kavyan (AJK Utama dan AJK Khas) yang menghadiri tiga kali Mesyuarat AJK. Pengiraan jumlah kehadiran bagi tujuan ini akan dilakukan mulai Mesyuarat AJK 05/2012 (November 2012). Kughan Nadarajah mencadangkan elaun RM30.00 bagi tujuan itu dan dipersetujui sebulat suara oleh semua yang hadir.
 
6.2 Mesyuarat meneliti Borang Keahlian Kavyan yang diterima dan meluluskan beberapa permohonan. Kughan Nadarajah selaku Penolong Setiausaha akan memaklumkan kepada pemohon terbabit.
 
6.3 Uthaya Sankar SB menghuraikan lebih lanjut mengenai isu “ada unsur penyebaran agama Hindu” dalam sebuah cerpennya. Uthaya meminta para AJK Kavyan merujuk blog untuk maklumat terperinci mulai 1 Oktober 2012. Uthaya akan mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit pada minggu depan (1-5 Oktober 2012) untuk mendapatkan penjelasan kerana tidak mahu “alasan” sama diberikan untuk menolak karya penulis pelbagai kaum pada masa hadapan.
 
6.4 Mesyuarat membincangkan cadangan “Konvoi ke Rumah Ibadat” sebagai susulan kepada acara seumpama sebelum ini. Mesyuarat bersetuju bahawa program ini amat sesuai ke arah memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama menerusi acara berciri inter-faith. Tiga tempat yang sedang dipertimbangkan adalah Jalan Ipoh-Jalan Sentul (Kuala Lumpur), Seremban (Negeri Sembilan) dan Georgetown (Pulau Pinang).
 
6.5 Uthaya Sankar SB memaklumkan mengenai projek penerbitan kumpulan cerpen yang sedang diusahakan untuk awal tahun 2012. AJK Kavyan yang berminat turut dipelawa terlibat sebagai Editor Bersekutu. Maklumat lengkap boleh dirujuk di blog.
 
6.6 Pelekat kereta “Kavyan” akan diberi kepada AJK Kavyan (AJK Utama dan AJK Khas) yang berminat untuk mempamerkannya pada kereta masing-masing. Langkah ini sebagai usaha mempromosi Kavyan kepada orang ramai; khususnya pengguna jalan raya.
 
6.7 Ramakrishnan Ramasamy mencadangkan supaya AJK Kavyan yang ada manuskrip baru agar membawanya bersama ke Mesyuarat AJK supaya boleh dibincangkan bersama-sama selepas mesyuarat ditangguhkan. Cadangan ini dipersetujui. Uthaya Sankar SB menyatakan bahawa manuskrip juga boleh diedarkan melalui e-mel untuk dibaca, dikomen dan dibaiki sebelum pertemuan akan datang.
 
7. Penangguhan Mesyuarat
 
7.1 Mesyuarat AJK Kavyan seterusnya (05/2012) ditetapkan pada 25 November 2012 (Ahad), 10:15 pagi di Shah Alam.
 
7.2 Pengerusi menangguhkan mesyuarat pada 11:50 pagi; diikuti makan tengah hari.