18 Apr 2011

Penulis Melayu minta bukan Melayu henti pertikai Kamus Dewan

KUALA LUMPUR, 18 April – Dalam pendirian kelihatan menyokong Kementerian Pelajaran, badan-badan penulis Melayu hari ini menegaskan Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain.

Ini kerana jelas Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA), Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah hasil dari himpunan perkataan yang digunakan orang Melayu selain telah diwarisi sejak turun-temurun.

Gapena dan Pena masing-masing menegaskan kandungan perkataan dalam Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India. [Pendirian Kavyan - BACA DI SINI]

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, ahli jawatankuasa Gapena Datuk Dr Zainal Kling berkata Kamus Dewan yang diterbitkan pada 1970 dan sekarang sudah edisi keempat tidak perlu dipertikaikan.

Beliau juga menegaskan perkataan-perkataan dalam Kamus Dewan termasuk perkataan didakwa menyinggung perasaan kaum India adalah himpunan perkataan yang digunakan sejak turun-temurun.

“Secara umum pandangan saya, Bahasa Malaysia kepunyaan bangsa Malaysia... sebagai bahasa kebangsaan seluruh warga negara dan semua orang mempunyai tanggungjawab untuk memperkayakan bahasa itu tetapi kandungan yang dikatakan menyentuh bangsa dan kebudayaan lain barangkali tinggalan dari zaman lampau iaitu ketika bahasa dan bangsa Melayu adalah eksklusif, hanya digunakan oleh bangsa Melayu,” kata beliau.

Malah katanya, pelbagai perkataan yang menyentuh kaum-kaum ain pada masa itu adalah merupakan sikap dan pandangan dan juga perasaan orang Melayu terhadap kaum lain yang datang negeri mereka ketika itu.

“Jadi kerana itu saya dapati pelbagai frasa dan perkataan yang memancarkan perbezaan nilai serta kefahaman tentang alam sekitarnya misalnya perkataan ‘keling’ dan sebagainya itu adalah pandangan orang Melayu terhadap perilaku pendatang India pada masa lampau, jadi perkataan itu menjadi himpunan dalam kosa kata Melayu tapi perktaan yang dianggap memandang serong turut berlaku dalam semua bahasa termasuk Inggeris, Perancis dan Cina dan sudah tentu dalam bahasa Tamil terhadap orang-orang lain yang diluar daripada lingkungannya,” katanya.

Justeru kata Zainal, Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan, sebaliknya ia harus diterima semua pihak sebagai warisan Bahasa Melayu tanpa sebarang pertikaian.

“Jadi kerana itu semua warga Malaysia sekarang harus menerima kehadiran dan himpunan kata-kata yang dipandang serong itu sebagai satu evolusi sejarah Bahasa Melayu yang merakam corak pertembungan dan juga pertemuan kaum Melayu dan kaum laiin di Tanah Melayu di zaman lampu... juga di alam Melayu lain seperti di Indonesia,” katanya.

Tambah baliau, rakyat Malaysia tidak harus merasa kecil hati terhadap hal-hal seperti ini dan fenomena bahasa kerana ia merupakan proses kebahasaan dan juga pengalaman sejarah sosio dan budaya yang terakam dalam bahasa.

“Jadi ia tidak perlu dipertikaikan, ia harus dilihat dari sudut pandangan orang Melayu tanpa menyebut hal-hal yang prejudis atau menyinggung perasaan kaum lain, ia sebagai warisan dari zaman lampau dan tidak perlu dipertikaikan... hal bahasa adalah hal bahasa, warisan bahasa Melayu tanpa pertikaian,” katanya.

Sementera itu, Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad berkata, tindakan terbaru Kavyan selepas mencetuskan kontroversi dalam novel Interlok akan menimbulkan “huru-hara.”

Jelas beliau, kenyataan terbaru Kavyan seolah-oleh bersifat ugutan dengan tujuan agar perkataan-perkataan yang didakwa menyinggung kaum India digugurkan pula dari Kamus Dewan.

“Apabila bercakap Kamus Dewan dan Bahasa Melayu semua dilihat dari perspektif Bahasa Melayu... walaupun bahasa dalam Kamus Dewan itu memang campuran bahasa lain tapi itu adalah sifat dinamik bahasa.

“Kalau nak kelirukan lagi bahawa Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut bangsa lain, nanti ia akan kacau bilaukan Bahasa Melayu, jadi Kamus Dewan memang harus dilihat dari sudut bahasa Melayu,” katanya.

Beliau menasihatkan Kavyan agar tidak mempertikaikan Kamus Dewan kerana ia akan mencemarkan kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara.

“Saya nasihatkan jangan nak menimbulkan huru-hara, ia nampak seolah-olah mahu menimbulkan ugutan dan hasutan, segala milik orang bukan Melayu kita terima, jadi terimalah ia (Kamus Dewan) sebagai satu sifat dinamik bahasa, jangan nak mempertikaikannya.

“Ini kamus Bahasa Melayu... jadi perlu lihat dari sudut Bahasa Melayu, kalau nak lihat dari sudut pandangan lain buatlah kamus bahasa lain... kalau berterusan, ia akan menimbulkan lebih banyak krisis dan cuba menidakkan kedaulatan Bahasa Melayu,” tegasnya.

Semalam Kavyan mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan terbitan DBP hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.

Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia. [BACA DI SINI]

Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Kamus Dewan disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna Bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa “sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya”.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengatakan bahawa “perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus Bahasa Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain.”

Katanya, setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.

Kementerian itu mengatakan demikian dalam reaksi kepada laporan Makkal Osai bertarikh 31 Mac lalu bahawa Kamus Dewan mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.

(Syed Mu’az Syed Putra, The Malaysian Insider, 18 April 2011)