29 Mar 2010

PM Jayakan Program Membaca di PWTC

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa menjayakan program ‘bacaan buku’ yang julung kali diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010.
..

Konsep bacaan buku itu anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diadaptasi daripada acara Frankfurt International Book Fair di Jerman, serta menjadi aktiviti intelektual di kebanyakan negara barat.

..

Pada Ogos 2003, Kumpulan Sasterawan Kavyan pernah menganjurkan acara Baca Cerpen Kavyan di Shah Alam dan program ‘bacaan buku’ itu diteruskan sehingga kini di seluruh negara dengan penglibatan peserta pelbagai kaum.

..

Pada program di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 28 Mac 2010, Najib membaca buku hasil tulisan beliau Menakhoda Zaman yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

..

Kira-kira 100 pengunjung membeli buku berkenaan dan menyertai program ‘bacaan buku’ bersama-sama Perdana Menteri di Gerai ITNM.

..

Najib membacakan 23 baris ayat tulisan beliau yang dipetik dari Bab 5 bertajuk “Pertarungan Minda Perang Masa Depan” sebelum diteruskan peserta lain.

..

Buku Menakhoda Zaman diterbitkan dalam versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta menghimpunkan pelbagai idea, kritikan dan pandangan Najib yang digarap secara jujur dalam memperkatakan tentang kelemahan kaum Melayu, bagaimana masyarakat perlu bangkit menyahut cabaran, cara menggerakkan perubahan dan laluan mana sebaiknya dipilih untuk membolehkan gagasan membina masa depan itu dapat dicapai demi kemajuan negara dan kemakmuran rakyat seluruhnya.

..

Sinar Harian, 29 Mac 2010. Sumber: Bernama & Kavyan

No comments: