22 Oct 2009

Baca Cerpen Dr Othman & Baca Puisi Dr Lim

Sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” (BBK) Peringkat Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan dua aktiviti bahasa dan sastera bagi khalayak umum.

Aktiviti “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” akan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Aktiviti “Baca Puisi Dr Lim Swee Tin” pula akan berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2009, bermula pukul 8:30 pagi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Persiaran Bandar Raya, Shah Alam.

Penyertaan dibuka kepada khalayak pelbagai kaum yang berminat tampil membaca petikan cerpen karya Allahyarham Dr Othman Puteh atau puisi karya Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Memandangkan penyertaan adalah terhad, sesiapa yang berminat menjadi peserta (pembaca teks) wajib mendaftar lebih awal dengan mengirim e-mel ke infokavyan@yahoo.com.my atau SMS maklumat diri ke nombor 012-3368142 (Uthaya Sankar SB).

Orang ramai juga diundang hadir mendengar pembacaan petikan cerpen dan puisi pada kedua-dua acara berkenaan. Hadirin yang datang awal (8:30 pagi) akan diberi cenderamata kenang-kenangan.

Para peserta pula akan menerima cenderamata, sijil dan hadiah-hadiah lain yang disediakan oleh penganjur.

Dr Haji Othman Puteh dilahirkan di Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka pada 5 Januari 1944. Beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI, 1963-1964). Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Persuratan (1977), Ijazah Sarjana Sastera (1981) dan Ijazah Doktor Falsafah (1992) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mantan Profesor Madya di UKM ini giat menulis cerpen, novel dan esei kritikan; serta memberi ceramah, mengajar dan membimbing bengkel penulisan cerpen. Pada 1996, beliau mengikuti International Writing Programme di Universiti Iowa, Amerika Syarikat dan pada 1998, menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara. Antara karya beliau adalah Matra, Tasik dan Laut (1984), Ario (1988), Munajat di Perkebunan (1990), Jeneral (1992) dan Kalut (1997). Beliau juga Penasihat Kumpulan Sasterawan Kavyan sebelum meninggal dunia pada 19 Oktober 2003. Baca Cerpen Dr Othman Puteh diadakan pada 10 April 2004 dan Apresiasi Karya Dr Othman Puteh pada 25 Oktober 2004 khusus untuk mengenang sumbangan beliau.

Prof Madya Dr Lim Swee Tin lahir di Kelantan pada tahun 1952. Pada 1988-1992, Lim melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Beliau meneruskan perkhidmatannya di Negeri Sembilan dan Selangor selama 10 tahun lagi sebagai guru. Dalam tahun 1996-1999 melanjutkan pengajian bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (M.A) – Kesusasteraan Melayu, dan 2000-2005 di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) - Kesusasteraan Melayu. Sejak 1 Disember 2000, Dr Lim berkhidmat pula di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Selain melibatkan diri dengan bersungguh-sungguh dalam lapangan kesusasteraan, Dr Lim juga merupakan pembimbing dan penceramah Bahasa Malaysia sejak tahun 1980. Beliau mengendalikan kursus seperti penulisan, KOMSAS dan memberi motivasi kepada pelajar, pelatih guru dan guru-guru di sekolah, di Malaysia dan di Singapura. Beliau turut menulis lebih daripada 10 buku panduan Bahasa Malaysia untuk pelajar PMR dan STPM. Pada tahun 2000, beliau dianugerahi S.E.A. Write Award oleh Kerajaan Diraja Thailand di samping 25 hadiah kesusasteraan di Malaysia. Beliau menghasilkan lebih 50 buah buku kreatif dan nonkreatif sepanjang penglibatannya, dan karya-karya beliau terkumpul dalam 100 buah antologi bersama.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan boleh dirujuk dari semasa ke semasa di www.kavyan.blogspot.com atau hubungi infokavyan@yahoo.com.my.

No comments: