Wednesday, 29 July 2009

Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menerima undangan menghadiri Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris untuk sama-sama memberikan pandangan.

Mesyuarat berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 3 Ogos 2009 (Isnin), 8:30 pagi hingga 4:30 petang di Bilik Mesyuarat seri Duta, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, Haji Ali bin Ab. Ghani dalam surat bertarikh 27 Julai 2009 yang diterima melalui faks pada petang 29 Julai 2009 berkata, mesyuarat berkenaan diadakan “untuk mendapatkan input berkaitan usaha-usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris.”

Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom.

Antara tokoh bahasa dan sastera yang turut diundang menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Datuk Dr Anwar Ridwan, Prof Dato’ Emeritus Dr Nik Safiah Hj Karim, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Prof Madya Dr Mahzan Arshad, Dato’ A. Aziz Deraman, Tan Sri Prof Emeritus Dato’ Ismail Hussein, Prof Madya Dr Hashim Ismail, Hajah Mahaya Yassin, Datuk Termuzi Abd Aziz, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Puan Shamsul Kamariah Hamzah, Hajah Izzah Abdul Aziz, Sdr Faizal Tehrani, Sdr Mohd Khair Ngadiron, Encik Raslin bin Abu Bakar dan Puan Khadijah Hashim.

Kavyan percaya, mesyuarat ini amat sesuai untuk memperkukuhkan usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Inggeris.

No comments: